NEW DELHI, 5 Ogos (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan sebuah badan perdagangan India untuk menggalakkan pertukaran pengetahuan sektor minyak sayuran antara kedua-dua negara.
MOU dengan Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA) itu adalah bertujuan untuk menggalakkan kerjasama antara syarikat Malaysia dan India dalam bidang komersial dan teknikal, kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.
Ia merangkumi bidang seperti pengeluaran dan perdagangan minyak sayuran mampan, pindahan teknologi dan pembinaan kapasiti dalam industri berasaskan minyak sawit dan penggalakan amalan terbaik serta standard berkualiti.
MOU itu dimeterai pada Jumaat (4 Ogos) di luar satu persidangan industri di New Delhi.
Presiden IVPA Sudhakar Desai berkata syarikat India boleh mendapat manfaat daripada pengetahuan meluas Malaysia dalam produk minyak sawit dan peralatan.
"Akan ada skop bagi interaksi dan perbincangan bersama dalam pelbagai bidang,” kata Sudhakar.
"Malaysia telah menjadi pembekal (minyak sawit) India sejak sekian lama, namun dengan MOU ini kami mahu memastikan hubungan ini menjangkaui urus niaga pembeli-penjual,” katanya.
India merupakan destinasi eksport utama minyak sawit Malaysia. Negara itu membeli 1.22 juta tan minyak sawit dalam tempoh enam bulan pertama 2023, yang mana merupakan 17.3 peratus daripada kuantiti eksport Malaysia bagi tempoh itu.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan