POLITIK

Tindakan Keluar Parti Tidak Rencat Perjuangan Pemuda Umno - Akmal Saleh

05/08/2023 12:55 PM

MELAKA, 5 Ogos (Bernama) -- Tindakan keluar UMNO beramai-ramai termasuk melibatkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh Afiq Amani Annuar semalam tidak merencatkan semangat perjuangan ahli lain untuk terus setia kepada parti.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh dalam kenyataan hari ini berkata Pemuda akan terus istiqamah dalam meneruskan dan menggalas tanggungjawab diberikan untuk memperkukuhkan parti.

“Pemimpin itu datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti. Perjuangan UMNO tetap diteruskan. 

“Suka untuk saya ingatkan dan berpesan kepada rakan-rakan Pemuda UMNO, perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik tetapi pejuangan Pemuda UMNO adalah untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Media semalam melaporkan selain Afiq Amani, turut mengumumkan keluar UMNO adalah Ketua Penerangan Pemuda bahagian itu Ahmad Syauqi Mazlan.

Dr Muhamad Akmal berkata berikutan perkembangan itu, jawatan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh dipangku Naib Ketua Pemuda bahagian Azhan Ishak.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata Wanita UMNO menerima hasrat Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh Sabariah Hamzah dan beberapa Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO bahagian itu yang membuat keputusan keluar parti.

Walaupun keputusan itu amat mendukacitakan, Noraini berkata tindakan keluar UMNO oleh segelintir ahli tidak akan melumpuhkan UMNO Bahagian Ketereh.

Beliau berkata berikutan pengumuman itu, jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh dipangku oleh Naib Ketua Wanita bahagian Marzuani Ardilla Ariffin.

“Bagi pihak Wanita UMNO Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi khidmat selama ini. Pemimpin datang dan pergi tetapi UMNO akan tetap teguh dan berdiri.

“UMNO memerlukan ahli dan barisan kepimpinan yang setia untuk berjuang demi parti dan negara ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan