POLITIK

Prn: Tiga Calon Ph-bn Bawah Parlimen Tasek Gelugor Berdepan Tugas Berat

03/08/2023 06:02 PM

TASEK GELUGOR, 3 Ogos (Bernama) -- Tiga calon dari parti komponen yang mewakili Kerajaan Perpaduan yang bertanding di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tasek Gelugor, perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ini kerana walaupun Parlimen Tasek Gelugor sebelum ini dikatakan kerusi ‘selamat’ Barisan Nasional (BN), namun selepas kekalahan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-UMNO) kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Bersatu) dengan majoriti 12,252 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ketiga-tiga calon tersebut berhadapan tugas berat.

Menyedari perkara itu, Dr Shaik Hussein Mydin calon BN di DUN Sungai Dua; Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan) dan Abdul Mohsein Mohd Shariff (PH-Telok Ayer Tawar), akan terus ‘bekerja keras’ menyantuni penduduk di segenap pelusuk kampung, di kawasan yang ditandingi mereka.

Shaik Hussein yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang berkata selepas beberapa hari berkempen, beliau sudahpun masuk hampir ke setiap kampung di Sungai Dua, untuk memperkenalkan dirinya dan menyampaikan perancangannya untuk penduduk di kawasan itu.

Antara yang ingin dilaksanakan di kawasan yang sebelum ini disandang wakili PAS itu ialah, memastikan tiada orang yang hidup susah di Sungai Dua dan menoktahkan kemiskinan, dengan terutamanya memudahkan saluran bantuan kerajaan, selain menyediakan peluang pendidikan untuk anak-anak muda.

Tasek Gelugor yang terletak di Seberang Perai Utara, merupakan kawasan luar bandar dengan 80,868 pengundi berdaftar dan hampir 50 peratus merupakan belia berumur dalam lingkungan 21 dan 39 tahun.

Bagi Nor Hafizah yang juga merupakan penyandang kerusi Permatang Berangan, berazam untuk meneruskan tugas-tugas membantu rakyat kawasan itu, yang telah dirancang dan dilaksanakan sebelum ini.

Selain itu beliau juga mahu terus membawa penambahbaikan kepada khidmatnya kepada penduduk setempat, selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan.

Sementara itu  Abdul Mohsien pula berkata kawasan Telok Ayer Tawar, memerlukan pelbagai bentuk pembangunan demi kepentingan masyarakat setempat.

Ini kerana, walaupun kawasan tersebut mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, namun sehingga kini ia kekurangan dari segi keperluan asas seperti bank, klinik kesihatan dan pejabat pos.

Bagi Abdul Mohsien memberikan khidmat di kawasan itu bukan asing baginya, kerana bapanya Tan Sri Mohd Shariff Omar sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor mewakili UMNO, selama dua penggal dari tahun 1999 hingga 2008, dan tentunya beliau mahu meneruskan kerja-kerja membantu masyarakat yang sebelum ini dilaksanakan ayahnya.

Pada PRN ini, Shaik Hussein akan berhadapan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff; Nor Hafizah berhadapan Mohd Sobri Salleh (PN-PAS), manakala Abdul Mohsein (PH-PKR) pula akan ditentang Azmi Alang (PN-Bersatu).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan