JENAYAH & MAHKAMAH

Pembantu Gerai Durian Dirompak Lelaki Bersenjata

03/08/2023 04:00 PM

KUANTAN, 3 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita warga asing yang merupakan pembantu sebuah gerai durian di sini, dirompak seorang lelaki bersenjatakan pistol di tepi jalan berhampiran kawasan perindustrian Benus, Bentong semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata ketika berada di gerai durian itu, mangsa telah didatangi seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang memandu kereta jenis Proton Wira sekitar 3.20 petang.

Beliau berkata suspek mengacukan pistol ke arah wanita berusia 38 tahun itu dan memintanya menyerahkan wang tunai jualan durian sebelum lelaki itu melarikan diri menaiki kenderaan yang sama.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggaran nilai kerugian sebanyak RM850,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak dengan menggunakan senjata dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-22222222 atau mana-mana balai berdekatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan