AM

Fitnah Kempen Dalam Masjid, Fahmi Beri Tempoh 24 Jam Supaya Mohon Maaf 

03/08/2023 12:15 AM

SHAH ALAM, 2 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi tempoh 24 jam kepada dua individu yang melontarkan fitnah kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang baru-baru ini supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu berkata notis tuntutan telah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook 'N13 Kuang' petang tadi.

Fahmi berkata notis itu bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau hanya menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.

"Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.

"Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya, Fahmi Fadzil, tidak bersalah," katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis dekat sini hari ini.

Beliau berkata notis itu, antara lain, adalah bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan