CHUKAI, 1 Ogos (Bernama) -- Nelayan Kampung Tanjung Kuala di Kemasik di sini, meluahkan rasa kecewa dengan pembinaan benteng pemecah ombak yang disifatkan tidak efisien, serta menyukarkan mereka untuk turun ke laut.
Seorang nelayan Awi Abdullah, 58, berkata sebelum ini kerajaan Barisan Nasional (BN) telah merancang untuk membina benteng pemecah ombak, setelah mengadakan perbincangan dengan penduduk setempat bagi kemudahan bersama.
“Namun selepas kekalahan BN dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), kerajaan PAS tetap ingin meneruskan projek itu tetapi tidak mengikut rancangan asal, sekali gus menyebabkan keadaan muara untuk keluar masuk bot terjejas dan membahayakan para nelayan.
“Selain itu, benteng yang dibina juga gagal untuk menghalang hakisan dan menyebabkan berlaku banyak kemusnahan termasuk jeti, gerai makanan dan tempat nelayan berkumpul,” katanya kepada Bernama hari ini.
Turut meluahkan kekecewaan, Mohd Nong Yunus, 66, yang memberitahu selepas lima tahun, janji kerajaan negeri yang diterajui PAS untuk menyelesaikan masalah mereka, hanya tinggal janji dan tidak ditepati.
“Kerja pembinaan benteng ini pun seperti tidak siap sepenuhnya. Kita boleh tengok masih ada lagi lori pasir dan jengkaut yang sudah lama ada di sini, tetapi tidak beroperasi,” katanya.
Tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati, terdapat benteng pemecah ombak yang dibina untuk menghalang hakisan daripada berlaku tetapi ia seperti projek ala kadar, seumpama ‘melepas batuk di tangga’, termasuk tiada fasiliti lengkap di perkampungan nelayan terbabit seperti tandas awam dan surau.
Sementara itu, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof berkata memang menjadi keutamaan beliau untuk membela nasib para nelayan, terutamanya dalam isu hakisan pantai di Kemasik.
“Di DUN ini mempunyai banyak kawasan pantai yang menarik. Kita akan bangunkan serta membina pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam, bagi menarik pelancong untuk datang dan menikmati alam semula jadi di sini,” katanya.
Pada PRN14 bagi DUN Kemasik, BN yang diwakili Ir Rosli Othman tewas dengan majoriti 2,164 kepada wakil PAS Ir Saiful Azmi yang meraih 9,643 undi dan PRN kali ini menyaksikan Mohd Khairi Afiq akan mencabar calon penyandang dari PAS itu, dalam saingan satu lawan satu.
Pentadbiran negeri Terengganu diambil alih oleh PAS selepas PRU14, setelah menang selesa 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya meraih 10 kerusi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial