Oleh Nur Natasha Aida Ismail
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Rukun Negara yang menjadi falsafah kebangsaan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di negara ini antara legasi negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman kepada rakyat Malaysia.
Dr Ismail seorang daripada tokoh yang memberi sumbangan besar kepada pembentukan Rukun Negara selepas rakyat berdepan detik hitam akibat peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Tokoh sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata Dr Ismail sewaktu hayatnya juga dilihat sebagai ikon perpaduan kerana sering menyeru dan mengingatkan rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama untuk saling bergaul bagi mewujudkan kefahaman budaya masing-masing.
“Apabila ada peluang untuk bergaul, beliau dilihat mesra terhadap kaum lain dan di situlah memperlihatkan nilai perpaduan yang diterapnya lebih tulen dan jati.
“Tiga elemen yang dipegang Allahyarham dalam memperkukuh perpaduan ialah menekankan bahawa perlunya pergaulan dengan semua bangsa, mengenali antara satu sama lain serta saling memahami budaya antara kaum,” katanya kepada Bernama.
Teo berkata Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ketika Dr Ismail memegang jawatan Menteri Dalam Negeri adalah tepat pada masanya kerana menjadi sumber wadah perpaduan.
“Selepas trauma dengan tragedi 13 Mei 1969, rakyat berada dalam keadaan terkejut dan takut. Waktu itu juga, memang ada keperluan segera untuk negara mencari satu formula yang boleh menyatukan semua rakyat.
“Jadi apabila Rukun Negara digubal, semua orang pada ketika itu ‘ghairah’ menghayati lima nilai yang diperkenalkan dalam Rukun Negara untuk hidup dengan aman dan tenteram meskipun berbilang bangsa dan agama,” katanya.
Beliau berkata dalam mengenang jasa Dr Ismail, nama Allahyarham wajar diingati termasuk generasi muda hari ini sebagai seorang tokoh pembentukan ideologi kebangsaan atas usaha dan sumbangan dalam membentuk keharmonian negara.
Menurut Teo antara usaha yang boleh dilakukan dalam memastikan legasi yang ditinggalkan Dr Ismail kekal segar dan terus menjadi pegangan serta amalan dalam kalangan rakyat hari ini, Rukun Negara yang telah dibentuk lebih 50 tahun lepas harus diteliti semula untuk menambah nilai-nilai baharu mengikut kesesuaian semasa.
“Setelah lebih 50 tahun Rukun Negara diperkenalkan, mungkin pendekatannya yang terkandung dalam lima prinsip itu juga sudah ada yang lain dan kita juga harus akui hari ini ia tidak sampai ke tahap mengamalkan dan punyai pemahaman yang mendalam terhadapnya tetapi lebih kepada sekadar mengingati lima prinsip itu sahaja.
“Jadi pada pandangan saya, Rukun Negara yang ada harus diberikan pengisian yang lebih kerana ia merupakan satu falsafah negara dan kita mahu rakyat berpegang padanya. Kerajaan wajar memainkan peranan agar kefahaman dan amalan Rukun Negara bagi setiap rakyat selari dan tidak berbeza-beza.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj-Tonggak Perpaduan Negara, sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka, esok yang bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan tokoh itu dalam membangunkan negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan majlis berkenaan yang dijangka dihadiri 15,000 jemputan.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan