AM

Kajian Skim Baharu Gaji, Persaraan Penjawat Awam Akan Ambil Masa Lapan Bulan - Pm

27/07/2023 07:27 PM

SEREMBAN, 27 Julai (Bernama)  -- Skim gaji dan persaraan penjawat awam yang baharu akan mengambil masa hingga lapan bulan untuk dikaji sebelum dibentang ke Mesyuarat Kabinet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh termasuk soal gaji guru dalam usaha Kerajaan Perpaduan meningkatkan pendapatan penjawat awam.

“Saya akan bentangkan (hasil kajian) kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan tertakluk kepada peningkatan hasil dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Guru-Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurutnya unjuran hasil negara ketika ini juga lebih baik daripada unjuran awal kerana lebih ramai yang tampil membayar cukai.

Katanya sementara laporan kajian itu tersebut disiapkan, kerajaan telah mengumumkan sumbangan khas kepada penjawat awam dan pesara yang akan disalurkan dua minggu lagi. 

“Saya boleh umum RM1,000 tetapi saya tidak mahu tambah hutang lagi sebab hutang negara terlalu tinggi, itu pun banyak peruntukan pembaziran telah dipotong,” katanya. 

Perdana Menteri dilaporkan kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah dan bantuan RM200 kepada pesara kerajaan yang memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak, serta lebih sejuta pesara.

 -- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan