Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Penyertaan United Kingdom dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), keadaan tenaga kerja yang lebih baik dan ringgit yang rendah dijangka menjadi pemangkin kepada sektor minyak sawit untuk mencatatkan prestasi yang lebih memberangsangkan pada separuh kedua 2023.
Walaupun ringgit rendah, yang kini diniagakan pada RM4.57 berbanding dolar AS, dilihat meresahkan pada amnya, penganalisis perladangan melihatnya sebagai kelebihan untuk meningkatkan lagi eksport minyak sawit.
Mempunyai pendapat yang sama, pengawal selia industri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata penyusutan nilai mata wang tempatan berbanding dolar AS akan membantu meningkatkan permintaan minyak sawit mentah (MSM).
Ini seterusnya akan membantu mengekalkan harga komoditi tersebut kukuh dalam masa terdekat, melebihi paras RM4,000 satu tan.
Penganalisis turut berpandangan sektor tersebut akan mencatatkan momentum menaik pada separuh kedua 2023 jika tiada resolusi berhubung langkah Rusia menarik diri daripada perjanjian bijirin, menjejaskan keupayaan Ukraine untuk mengeksport minyak biji bunga matahari dan minyak bunga mataharinya, sekali gus meningkatkan permintaan untuk lebih banyak minyak sawit.
Semasa pasaran ditutup minggu lepas, MSM diniagakan melebihi RM4,000 satu tan dalam persekitaran ketidaktentuan berhubung eksport bijirin Ukraine melalui Laut Hitam.
“Harga MSM dijangka stabil hingga akhir tahun ini,” kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai fenomena El Nino yang akan berlaku pada separuh kedua 2023, dengan pengeluaran dijangka merosot antara satu dan tiga juta tan pada tahun depan.
Beliau berkata pembangunan lengkap pembungaan kelapa sawit pada amnya akan mengambil masa kira-kira 33 hingga 36 bulan.
Oleh itu, katanya jika keadaan El Nino menjadi serius pada suku ketiga 2023, impak paling awal daripada El Nino hanya dapat dilihat pada 2024.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes optimis terhadap sektor perladangan (minyak sawit) sambil menyatakan sektor itu berpeluang menerima manfaat daripada penyertaan United Kingdom (UK) dalam CPTPP.
“Malaysia telah berjaya meminta Britain untuk mengurangkan tarif minyak sawitnya yang kini dalam julat 12 peratus hingga sifar. Sebaik sahaja menyertai pakatan ini, langkah tersebut akan merangsang lebih banyak eksport ke UK,” katanya.
Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara melebihi US$7.3 bilion (US$1=RM4.57) pada 2022 dengan UK mencatatkan lebihan dagangan kira-kira US$786 juta.
PRESTASI SEPARUH PERTAMA 2023
Data yang dikeluarkan oleh MPOB menunjukkan pengeluaran MSM pada separuh pertama 2023 merosot 2.3 peratus kepada 8.08 juta tan berbanding 8.27 juta dalam tempoh sama pada 2022, bukan disebabkan tandan buah segar yang lebih rendah.
Dari segi stok, bagi tahun ke tahun, inventori minyak sawit pada Jun 2023 meningkat 0.07 juta tan atau 4.5 peratus kepada 1.72 juta tan berbanding 1.65 juta tan pada Jun 2022, didorong oleh eksport minyak sawit yang rendah.
Pada separuh pertama 2023, jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain merosot sebanyak 15,436 tan atau 0.1 peratus kepada 11.45 juta tan berbanding 11.46 juta tan dalam tempoh sama pada 2022 berikutan permintaan lebih rendah daripada negara pengimport utama.
Permintaan terhadap minyak sawit telah dikurangkan terutamanya dari Kesatuan Eropah (EU), India, Filipina, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Sementara itu, lima pasaran eksport teratas adalah India, China, EU, Turkiye dan Kenya.
Dari segi nilai, jumlah nilai eksport merosot sebanyak RM22.38 bilion atau 33 peratus kepada RM45.55 bilion berbanding RM67.93 bilion pada separuh pertama 2022 berikutan harga eksport yang rendah.
MSM diniagakan rendah sebanyak 38.4 peratus atau RM2,433.00 kepada RM3,897.00 satu tan pada separuh pertama 2023 berbanding RM6,330.00 satu tan pada separuh pertama 2022, dipengaruhi oleh harga minyak kacang soya yang lemah di Lembaga Perdagangan Chicago dan Bursa Komoditi Dalian China.
Harga dagangan tertinggi dan paling rendah pada separuh pertama 2023, masing-masing adalah RM4,217.50 satu tan (April) dan RM3,525.00 satu tan (Jun).
HALANGAN INDUSTRI
Antara cabaran utama yang masih belum dapat diselesaikan dan terus membelenggu industri sawit Malaysia adalah masalah kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing.
Ahmad Parveez berkata walaupun kerajaan menggalakkan sektor perladangan untuk menggunakan dan meningkatkat tahap penjenteraan namun, peratusan penggunaan penjenteraan dalam sektor ini masih rendah khususnya untuk kegiatan penuaian.
Walau bagaimanapun, kemajuan yang besar telah dicapai dalam semua bidang kemampanan, dipercepatkan menerusi pelaksanaan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di samping beberapa pendekatan dan usaha oleh kerajaan.
Pada masa ini, hampir 97.5 peratus kawasan penanaman kelapa sawit telah diperakui MSPO berdasarkan skim MSPO.
PENCAPAIAN
Lawatan sulung Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Eropah berakhir dengan hasil positif susulan pihak pembuat dasar EU berikrar untuk mengiktiraf pensijilan MSPO dalam garis panduan penilaian wajarnya untuk memastikan kemasukan minyak sawit Malaysia ke dalam blok itu adalah minyak sawit mampan.
Misi bersama Indonesia selama lapan hari di bawah Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) itu diadakan sebagai tindak balas kepada pelaksanaan Peraturan Pembasmian Hutan EU (EUDR) yang diumumkan oleh EU pada 6 Dis, 2022 yang bertujuan mengekang pembasmian hutan disebabkan kegiatan pertanian.
Dalam satu daripada beberapa temu bual dengan Fadillah, beliau menyeru supaya Malaysia dan rakyat Malaysia melaksanakan strategi bekerjasama rapat untuk mempertahankan tanaman versatil atau serba guna ini -- minyak sawit -- daripada peraturan yang tidak adil.
Sementara itu, sebagai susulan terhadap misi bersama tersebut, Ketua Pengarah Alam Sekitar Suruhanjaya Eropah Dr Florika Fink-Hooijer telah mengunjungi Malaysia dan Indonesia pada 26-28 Jun, 2023.
Ini diikuti dengan penganjuran beberapa mesyuarat yang telah dimuktamadkan dengan persetujuan untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas bersama yang dianggotai oleh wakil kerajaan serta pihak berkepentingan dari kedua-dua negara.
Pasukan petugas khas itu dipertanggungjawabkan untuk memantau keadaan membabitkan komoditi berkaitan seperti minyak sawit, kayu, getah, kopi dan koko di Indonesia dan Malaysia dalam skop EUDR bagi pasaran EU.
Sebagai membuktikan kesungguhan dalam merealisasikan matlamatnya, satu mesyuarat pertama bagi pasukan tersebut dijadualkan pada Ogos 2023.
Dalam perkembangan lain, Fadillah turut melakukan lawatan kerja singkat ke Kenya pada awal bulan ini dan seterusnya dijadual berkunjung ke China dan India bagi mempromosi selain meningkatkan lagi kerjasama dengan negara-negara berkenaan.
Tidak ketinggalan, antara pencapaian lain yang sewajarnya diketengahkan adalah pengiktirafan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas fraksi atau pecahan kaya dengan tokotrienol (TRF) yang akan digunakan bagi tujuan pelabelan produk makanan.
“Ini satu kemajuan besar yang memberi manfaat kepada pengeluar serta pengguna selain industri minyak sawit,” kata MPOB.
Pengiktirafan itu membolehkan pengeluar pemprosesan makanan yang menggunakan tokotrienol berasaskan sawit untuk memaparkan maklumat itu di label produk masing-masing.
Pihak MPOB telah mengemukakan permohonan bagi kelulusan KKM kira-kira 10 tahun lepas sejurus mendapat kelulusan Agensi Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat yang menyatakan TRF “diiktiraf secara amnya sebagai selamat” untuk digunakan dalam produk makanan.
TRF merupakan satu antioksidan yang berkemungkinan membantu dalam mengurangkan tekanan pengoksidaan selain dakwaan yang turut mengaitkannya sebagai berupaya untuk meningkatkan fungsi kognitif.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan