SUKAN

Pbsnt Tak Puas Hati Prestasi Tfc

20/07/2023 06:51 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Julai (Bernama) -- Mutu permainan Terengganu FC (TFC) yang semakin merudum dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) mula mendapat perhatian ahli Lembaga Pengarah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sejak awal musim, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dilihat tampil dengan prestasi sangat perlahan dan tidak konsisten sehingga meresahkan para penyokong bola sepak Terengganu.

Di laman sosial, para penyokong pasukan hitam putih mula membandingkan pencapaian skuad musim ini dengan tahun lalu ketika skuad Penyu di bawah bimbingan ketua jurulatih tempatan, Nafuzi Zain.

Malah wujud desakan supaya PBSNT melucutkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh yang didakwa bertanggungjawab penuh terhadap kemerosotan dan prestasi buruk pasukan.

Walaupun rombakan pemain dibuat pada jendela perpindahan kedua bulan ini, TFC ternyata masih gagal mencipta kemenangan dan kemuncaknya hanya sekadar seri tanpa jaringan ketika berdepan pasukan lebih bawah PDRM FC pada aksi di Liga Super di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad lalu.          

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri sememangnya tidak berpuas hati dengan prestasi lemah TFC yang ketika ini hanya sekadar menduduki tangga keenam Liga Super.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya TFC segera memperbaiki kelemahan dan mempertingkat mutu permainan sebelum pihaknya campur tangan dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita ambil maklum tentang prestasi tidak berapa baik TFC dan kita ambil maklum juga tentang cadangan yang dikemukakan penyokong untuk menaikkan TFC.

"Bagaimanapun cadangan untuk tukar CEO... tak boleh beritahu hari ini terus tukar hari ini. Beliau adalah pegawai kerajaan, tetapi dengan apa yang dah kita laburkan, kita tidak akan berdiam diri," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Wan Sukairi berkata lagi prestasi tidak konsisten itu juga dikhuatiri berterusan sehingga ke saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) 2023 yang dijangka bermula September ini.

"Itu antara kebimbangan kita dan perkara ini turut dibincangkan dalam mesyuarat ahli Lembaga Pengarah PBSNT baru-baru ini.

"Jadi kita harap TFC dapat lakukan sesuatu dan ambil kira juga pandangan peminat kerana mereka ini penyokong tegar yang faham selok-belok dunia bola sepak," katanya yang tidak bercadang untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan pihak pengurusan TFCSB setakat ini.            

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan