JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki Terlibat Kes Wang Palsu

15/07/2023 04:43 PM

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kes duit palsu dengan seorang daripadanya berperanan menjual wang kertas RM100 dipercayai palsu dalam serbuan di sini dan Jalan Tebrau, Johor pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata penahanan dua lelaki itu ekoran laporan polis diterima daripada penolong pengurus stor sebuah kedai serbaneka di Jalan Macalister, di sini berhubung seorang lelaki membeli kupon tambah nilai Touch 'n Go menggunakan wang kertas RM100 dipercayai palsu pada 8 Julai lepas.

"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap lelaki itu kawasan George Town pada 11.30 malam dan serbuan di rumahnya di Bukit Mertajam berjaya  merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dan tujuh keping kupon tambah nilai Touch 'n Go.

Hasil siasatan mendapati suspek mendakwa membeli sebanyak 30 keping wang palsu RM100 dengan harga RM1,000 daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali menerusi laman sosial Instagram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya hasil maklumat dan  risikan polis berjaya menahan lelaki kedua yang dipercayai berperanan menjual wang kertas palsu itu dalam serbuan di Jalan Tebrau bagi membantu siasatan kes itu.

Soffian berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Sementara itu,  Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam satu kenyataan berkata pihak polis menyita sebanyak lapan motosikal menurut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi samseng jalanan dan mat rempit di kawasan tumpuan mereka berlumba haram di daerah itu.

Kenyataan itu memaklumkan, polis turut mengeluarkan 30 keping saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 4 pagi itu.

"Selain membendung samseng jalanan yang melibatkan mat rempit, operasi itu  juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Operasi ini juga, turut tertumpu di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan mat rempit  melakukan aksi berbahaya dan mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan