KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Skuad terjun bermula langkah kiri apabila empat wakil negara gagal meneruskan cabaran ke final acara 1 meter (m) papan anjal individu pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun hari ini.
Pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Fukuoka Prefectural Pool menyaksikan penerjun muda Ong Ker Yi menamatkan saingan di tempat ke-35 selepas mengumpul 204.30 mata manakala Kimberly Bong pula di tempat ke-44 dengan 178.40 mata dalam kategori wanita, menurut laman sesawang kejohanan www.worldaquatics.com.
Penerjun dari China Lin Shan mengungguli pusingan kelayakan dengan 291.25 mata diikuti rakan senegara Li Yajie di tempat kedua (283.35 mata) manakala Aranza Vazquez Montano dari Mexico ketiga (262.20).
Bagi kategori lelaki pula, Hanis Nazirul Jaya Surya menamatkan saingan di tempat ke-51 dengan mengutip 250.10 mata manakala Gabriel Gilbert Daim mengumpul 242.95 mata untuk berada di kedudukan ke-53.
Wakil China Peng Jianfeng mendominasi pusingan kelayakan dengan mengumpul 403.75 mata diikuti Omar Olvera Ibarra dari Mexico dengan 395.85 mata dan Jordan Christopher Houlden dari Great Britain ketiga (374.90 mata).
Pencapaian hari ini menyaksikan tiada wakil negara di pentas final, selepas kesemua mereka gagal menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik.
Acara final 1m papan anjal individu wanita akan berlangsung esok, manakala final kategori lelaki pada Ahad. Kejohanan Akuatik Dunia 2023 bermula hari ini hingga 30 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial