Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali
KUALA LUMPUR,11 Julai (Bernama) -- Profesion dalam bidang perakaunan terbukti kekal relevan dan menarik serta masih mendapat permintaan sebagaimana dibuktikan menerusi jumlah keahlian Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang mencatat pertumbuhan memberangsangkan.
Presidennya Datuk Bazlan Osman berkata MIA setakat ini mempunyai lebih daripada 38,500 ahli dengan jumlah pertumbuhan bersih keahlian itu kekal stabil sepanjang enam tahun lepas iaitu pada purata kira-kira 2.5 peratus setahun.
“Pertumbuhan ini jelas membuktikan bahawa kerjaya ini ‘kebal’ pandemik dan kemelesetan berikutan peranan profesional perakaunan yang diperlukan bagi membantu perjalanan perniagaan, kerajaan serta ekonomi secara lancar dan berkesan," katanya kepada Bernama.
Malah, bagi membuktikan kewajaran kerjaya tersebut, Bazlan berkata kalangan akauntan Malaysia juga disifatkan sebagai amat menarik di pasaran luar yang jelas ketara dalam pasca COVID-19.
“Kalangan akauntan muda Malaysia turut mendapat tawaran kerja di negara asing seperti Singapura, Australia dan United Kingdom kerana kelayakan profesional yang sememangnya diiktiraf selain fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris. Ini ditambah pula dengan kadar mata wang asing yang menjadikan peluang bekerja di luar negara itu sebagai amat menarik untuk kalangan akauntan muda.
“Ini sekali gus membuktikan nilai serta potensi ijazah dan latihan perakaunan ini. Menerusi pengalaman kerja di negara lain, kelompok akauntan muda ini sebenarnya mewujudkan satu perspektif global yang bernilai dan menyumbang kepada pertumbuhan dan prospek kerelevanan profesion tersebut di Malaysia,” katanya.
Bazlan turut berkongsi bahawa MIA berhasrat meraih kewajaran atau relevan akauntan dan profesion ini bagi menyokong usaha pembinaan negara secara mampan.
Sehubungan itu, katanya, MIA dalam usaha memastikan profesional perakaunan ini muncul sebagai pemimpin penting dalam organisasi yang turut memacu aspek penerimagunaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Baginya, dalam persekitaran serba rumit, perubahan dan pasca COVID-19 yang tidak dijangkakan, profesional perakaunan perlu berupaya mengemudi peranan mereka untuk berkembang dan pelbagai bagi mengetengahkan kepimpinan yang berkesan serta kecemerlangan perkhidmatan, sekali gus dapat mengukuhkan lagi kewujudan mereka secara relevan di masa depan.
“Ini memerlukan mereka untuk menimba kecekapan teknikal yang kian kompleks dalam kewangan dan perakaunan serta melengkapkan diri dengan kepintaran bukan kewangan selain menegakkan aspek etika dan integriti.
“Ia akan memantapkan lagi mereka sebagai individu yang serba boleh, penyelesai masalah dan rakan kongsi perniagaan yang dipercayai. Profesional perakaunan juga perlu tangkas dan mudah menyesuaikan diri untuk berkembang maju,” katanya.
Bazlan juga mengulas mengenai sasaran kerajaan untuk melahirkan 60,000 profesional perakaunan bagi menyokong keperluan pertumbuhan ekonomi yang kini berkemungkinan boleh dicapai menjelang 2030 selepas pemansuhan Akta Akauntan dan penguatkuasaan penuh tiga peringkat keahlian berdasarkan Rangka Kerja Kecekapan MIA.
Rangka Kerja Kecekapan MIA dibangunkan oleh Lembaga Pendidikan MIA berdasarkan Piawaian Pendidikan Antarabangsa Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC).
Di bawah Rangka Kerja Kecekapan, tiga peringkat keahlian telah dicadangkan memfokuskan pada penyata kecekapan berbeza yang diperlukan untuk profesional perakaunan di pelbagai peringkat.
“Bagaimanapun, ini dihadkan oleh batasan Akta Akauntan 1967 ketika ini yang mana hanya satu peringkat keahlian diiktiraf iaitu Akauntan Bertauliah.
“Kami kini bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk memansuhkan Akta Akauntan 1967 bagi membolehkan tiga peringkat keahlian mengikut penyata kecekapan yang berbeza,” katanya.
Sementara itu, Presiden IFAC, Asmâa Resmouki berkongsi beberapa pandangan mengenai masa depan yang mengujakan bagi profesion perakaunan, dengan menyatakan bahawa usaha menyokong kemampanan dan penciptaan nilai mampan menjadi agenda utama.
IFAC ialah organisasi global bagi profesion perakaunan yang mewakili lebih daripada tiga juta akauntan profesional di seluruh dunia.
Beliau berkata akauntan profesional mempunyai kelebihan yang unik untuk membantu perniagaan, dan malah masyarakat beralih kepada masa depan yang mampan.
“Pemikiran bersepadu kami -- yang mengenal pasti dan mentafsirkan perkaitan penting antara maklumat kewangan dan bukan kewangan -- itulah yang akan membolehkan kami menyediakan hala tuju strategik dan pengawasan di dalam dunia masa kini yang kompleks,” katanya.
Resmouki berkata kerjasama strategik adalah penting demi kerelevanan profesion pada masa depan, justeru, IFAC bekerjasama dengan MIA dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan transformasi digital.
“IFAC bekerjasama dengan MIA mengenai advokasi kewangan Islam untuk memacu pencapaian SDG melalui meja bulat dan artikel, sekali gus meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial.
“Selain itu jelas terdapat kaitan semula jadi antara prinsip SDG dan kewangan Islam, berkenaan dengan hubungan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan sosial sebagai contoh...oleh itu, peranan kami dalam mempromosikan peranan kewangan Islam dalam kemampanan,” katanya.
Beliau berkata IFAC juga bekerjasama dengan MIA berkaitan dengan advokasi digital untuk profesion itu.
Pada 2018, IFAC memuji Pelan Tindakan Teknologi Digital MIA sebagai model untuk profesion.
Melangkah maju, MIA telah memulakan Anugerah Penerimagunaan Teknologi Digital (DTAA) baharunya, dengan tarikh akhir penyerahan penyertaan pada 30 Ogos, 2023.
Sehubungan itu, MIA mempelawa pengguna teknologi yang berjaya dalam profesion berkenaan untuk tampil berkongsi kisah mereka dengan menyertai DTAA.
“Teknologi tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman sebaliknya merupakan alat yang paling berkuasa. Apabila mempunyai mesin mengendalikan aspek rutin profesion kami, akauntan bebas memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah, strategi dan aspek kreatif dalam perkara yang kami lakukan,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan