AM

DANA PROMOSI PRODUK KE LUAR NEGARA BANTU USAHAWAN BERSAING

09/07/2023 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Usaha menyediakan dana pembiayaan bagi mempromosikan produk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di pasaran luar negara akan membuka ruang buat produk tempatan bersaing dengan jenama antarabangsa. 

Usahawan pekasam di bawah jenama Shazam Pekasam, Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman, 38, berkata dana itu juga membolehkan usahawan seperti beliau meningkatkan kualiti produk untuk memenuhi kriteria pemasaran antarabangsa.

“Sekiranya nak pasarkan pekasam di peringkat antarabangsa, kita perlu memenuhi standard antarabangsa seperti kualiti bungkusan yang memudahkan penghantaran di serata dunia.

“Malah, bahan juga perlu ditambah baik supaya apabila dipasarkan di luar negara pengguna dapat menikmati kualiti rasa yang sama seperti di Malaysia sekali gus mampu menarik perhatian mereka,” katanya kepada Bernama. 

Terdahulu, ketika berucap di Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara dan Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu SME Corporation Malaysia (SME Corp) berusaha mencari dana pembiayaan bagi membantu usahawan PMKS mempromosikan produk mereka ke pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Muhammad Aimi Syafiq Rohaimi, 30, yang mengusahakan perniagaan tekstil Batik Ila pula berkata cadangan tersebut amat dinantikan terutama ketika beliau dan isteri merancang untuk memasarkan produk mereka ke pasaran serantau seperti Thailand dan Singapura.

Beliau berkata pada masa ini, perniagaannya yang berpusat di Marang, Terengganu, mampu menerima kira-kira 400 tempahan helai blaus, kardigan, kemeja-T dan pakaian kanak-kanak dalam seminggu daripada pembeli.

“Jualan banyak dilakukan secara dalam talian dan melalui karnival. Jadi, saya berharap apabila mendapat bantuan untuk menembusi pasaran luar, perniagaan kami akan terus berkembang dan mampu bertukar status daripada ‘enterprise’ (pemilikan tunggal) kepada sendirian berhad,” katanya.

Usahawan sambal, Surya Watie Salleh, 43, berkata dana seperti itu dapat membantu meringankan bebannya yang selama ini menggunakan kewangan sendiri untuk memasarkan produk di luar negara.

“Sebelum ini sambal saya pernah dijual di United Kingdom dan Arab Saudi dan sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan pelajar Malaysia.

“Jika dapat bantuan daripada SME Corp kita boleh menambah lokasi pasaran di negara lain yang bersesuaian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan