PASIR PUTEH, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melabuhkan 18 unit tukun tiruan konservasi bernilai RM660,000 di perairan Kelantan selama dua hari bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan di negeri itu.
Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata 11 tukun telah dilabuhkan di perairan Tok Bali, Pasir Puteh hari ini manakala tujuh lagi tukun akan dilakukan esok, di Kuala Besar, Kota Bharu.
"Hasil daripada melabuhkan tukun ini, ia dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,191 nelayan di negeri ini sekali gus menjamin sekuriti makanan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi Negeri Kelantan di Perairan Tok Bali, di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Adnan berkata secara keseluruhan DOF akan melabuhkan 41 tukun tiruan di Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor tahun ini, membabitkan kos RM1.31 juta.
Dalam pada itu, Adnan berkata sebanyak RM3.6 juta telah dibelanjakan bagi membina, melabuh dan memantau keberkesanan tukun tiruan bagi 2007 hingga 2023 di Kelantan.
Katanya peruntukan itu termasuk membabitkan penempatan 230 unit tukun tiruan di tujuh lokasi negeri ini iaitu Kuala Tumpat di Tumpat, Kuala Besar dan Sabak di Kota Bharu, Kemasin dan Pantai Irama di Bachok serta Semerak dan Tok Bali di Pasir Puteh.
Menurutnya antara tukun tiruan yang dilabuhkan adalah jenis tukun dasar lembut penghalang pukat tunda, tukun dasar lembut dan tukun rekreasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Adnan memaklumkan sebanyak 55,000 tan metrik pendaratan ikan dicatatkan tahun lepas di Kelantan dengan nilai borong bernilai RM548 juta.
"Sehingga Mei tahun ini pula 23,000 tan metrik ikan telah berjaya didaratkan dengan nilai borong berjumlah RM244 juta. Daerah Pasir Puteh menyumbang 55 peratus dari keseluruhan pendaratan ikan di Kelantan dengan nilai borong sebanyak RM101 juta," katanya.
Beliau berkata empat spesies ikan yang mencatatkan pendaratan tertinggi tahun ini adalah tongkol 5,267 tan metrik, kembong (2,231 tan metrik), selayang (1,851 tan metrik) dan kerisi (1,623 tan metrik).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial