Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Restoran Junior Kuppanna yang terkenal di India dengan masakan asli ‘Kongu’, kini membuka cawangannya di Leboh Ampang, Kuala Lumpur.
R. Denes Kumar, seorang daripada pemilik francais utama Junior Kuppanna di Malaysia, melahirkan rasa gembiranya atas sambutan luar biasa dan kunjungan berulang pelanggan sejak dibuka pada 24 Jun.
"Sejak 2014, kami berusaha membawa ‘masakan asli Kongu’ dari selatan India ke Malaysia kerana ramai rakyat Malaysia melancong ke India semata-mata untuk merasai masakan ini.
“Jadi, kami memutuskan untuk membawa juadah itu ke sini di Malaysia," katanya kepada Bernama ketika ditemubual di restoran berkenaan, baru-baru ini.
Kongu Nadu merujuk kepada kawasan geografi di selatan India yang terdiri daripada Tamil Nadu, Karnataka dan Kerala, justeru gabungan masakan yang unik menghasilkan ‘juadah Kongu’.
"Sebagai warisan, masakan Kongu adalah kaedah memasak yang disukai ramai di mana terdapat penggunaan masala dan kelapa, memberikan rasa yang unik," tambahnya.
Denes yang baharu mula menceburi perniagaan restoran, memberi jaminan bahawa chef terlatih Junior Kuppanna akan memastikan keaslian masakan Kongu dan kualitinya tanpa sebarang kompromi.
Dalam satu kenyataan berkaitan, Datuk Seri Dr C. Mahendran, seorang lagi rakan kongsi pemegang francais induk Junior Kuppanna di Malaysia, menggariskan kehadiran restoran itu semakin meluas melangkaui India.
“Junior Kuppanna kini boleh didapati di tiga negara di luar India iaitu Malaysia, Singapura dan Sri Lanka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial