AM

Kajian Saintifik Perlu Untuk Lindungi Beruk Kentui

07/07/2023 12:40 PM

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

KANGAR, 7 Julai (Bernama) -- Lebih banyak kajian saintifik diperlukan bagi memperkasakan usaha pemeliharaan dan pengurusan beruk kentui serta habitatnya agar spesies primat itu tidak pupus, kata Profesor Adjung Fakulti Sains Dan Sekitaran Marin, Universiti MalaysiaTerengganu (UMT) Datuk Dr Dionysius S.K Sharma.

Beliau berkata kajian mendalam terhadap beruk kentui atau nama saintifiknya, Macaca artoides  perlu segera diusahakan bagi mengumpul data-data saintifik seperti habitat, bilangan dan sebagainya.

“Usaha secara berterusan ini perlu, memandangkan  Taman Negeri Perlis (TNP) telah menjadi habitat baharu bagi beruk kentui yang berimigrasi dari Taman Negara Thale Ban di selatan Thailand yang bersempadan dengan negeri  Perlis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dionysius yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Alam Sedunia (WWF-Malaysia) berkata mereka yang paling dekat dan mempunyai kepakaran serta kemudahan dalam melakukan kajian saintifik adalah insitusi pengajian tinggi khususnya yang berada di utara Semenanjung Malaysia.

Katanya populasi beruk kentui dikatakan telah bertambah di TNP sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan usaha memulihara spesies unik dan jarang ditemukan itu perlu diperkasakan sebelum terlambat.

“Kita perlu data-data saintifik yang lengkap agar  pengurusan hutan dan pemulihan biodiversiti dapat dilakukan dengan lebih cekap,” katanya yang merupakan penyelidik pertama yang mengesahkan kehadiran beruk kentui di Perlis.

Beliau berkata beruk kentui merupakan spesies primat yang unik dan boleh dikatakan masih baharu di negara ini.

"Kita  perlu berusaha lakukan kerjasama dengan pihak Thailand bagi mendapat data-data agar dapat  lebih mengenali beruk kentui,” katanya

Menceritakan pengalamannya kali pertama bertemu beruk kentui pada 1992, Dionysius berkata beliau secara tidak sengaja menemukannya di Hutan Simpan Kekal (HSK) Mata Ayer.

“Ketika itu pada 29 Julai 1992 merupakan hari terakhir saya dan  rakan pasukan menjalankan penyelidikan bagi merakam kepelbagaian biologi dan gua di Perlis, saya tidak sangka dapat melihat buat kali pertama beruk kentui selepas mengemas barang untuk berangkat pulang,” katanya.

Turut senada, pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW) Syamil Abd Rahman berkata lebih banyak kertas penyelidikan ekologi dan biologi perlu dijalankan ke atas beruk kentui kerana ia merupakan spesies yang jarang diberi perhatian berbanding primat lain meskipun ia merupakan satu daripada primat endemik di Malaysia.

“Dalam tempoh 31 tahun sejak ia mula dikenal pasti wujud di negeri Perlis pada 1992, hanya dua kertas saintifik khusus diterbitkan, meskipun tiada kajian dijalankan sepanjang tempoh tersebut, jumlah populasinya dilihat stabil dan meningkat.

“Berdasarkan maklumat daripada penduduk setempat, PNW telah mengesan sebanyak 176 ekor beruk kentui di Wang Kelian dan selebihnya 350 ekor di sepanjang Banjaran Nakawan dengan lima lokasi hotspot,” katanya.

Beliau berkata usaha pemuliharaan (HSK) di bawah pewartaan Taman Negeri Perlis perlu dilaksanakan secara konsisten agar tidak berlaku fragmentasi habitat.

Katanya kehilangan habitat asal bakal memberi kesan kepada hidupan liar termasuk beruk kentui yang akan membawa kepada konflik hidupan liar dengan manusia apabila hidupan liar mula berkeliaran di kawasan kejiranan penduduk bagi mendapatkan makanan.

Syamil turut meluahkan kebimbangan tentang tahap kebersihan di kawasan pelancongan seperti Viewpoint Wang Kelian yang menjadi lokasi laluan beruk kentui.

“Kacau ganggu daripada manusia dan pencemaran sampah sarap di habitat asal akan menyebabkan spesies primat itu berpindah-randah untuk mengubah laluan mencari makanan,” katanya.

Katanya Ini merupakan ancaman utama kepada beruk kentui, jika tidak dikawal dari sekarang, spesies primat itu hanya tinggal kenangan di papan tanda lintasan semata-mata malah lebih merugikan jika ia berpindah ke habitat lain seperti ke negara jiran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan