KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tanggapan bahawa pendirian MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan hadapan, merupakan satu tindakan boikot.
Timbalan Perdana Menteri berkata kedua-dua parti komponen itu telah menyatakan komitmen untuk membantu jentera BN di keenam-enam negeri.
“Saya tidak fikir ia bertujuan untuk melakukan pemboikotan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, apabila ditanya sama ada MCA dan MIC memboikot PRN selepas melancarkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal di sini hari ini.
Beliau berkata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sendiri menghubungi beliau malam tadi dan memberitahu bahawa MCA komited membantu semua jentera BN di enam negeri yang bakal menghadapi PRN.
Ahmad Zahid berkata Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran juga telah menyatakan perkara yang sama.
Beliau berkata Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat pada 10 Julai depan untuk perbincangan koordinasi jentera dan mendapatkan pencerahan daripada MCA dan MIC.
Kepada soalan sama ada terdapat sebarang kerusi dalam PRN bulan depan yang diperuntukkan kepada MCA dan MIC, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata terdapat kerusi telah diperuntukkan untuk mereka bertanding.
Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan hadapan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan PRN di keenam-enam negeri itu dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial