AM

Kerajaan Akan Teliti Peraturan Kod Berpakaian Ketika Berurusan Di Pejabat Kerajaan - Ramkarpal

01/07/2023 09:29 PM

GEORGE TOWN, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti peraturan dalaman untuk menangani isu  kod pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Beliau berkata kerajaan perlu meneliti perkara itu dengan serius kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Kerajaan juga harus melihat cara untuk mengawal selia etika berpakaian supaya ia seragam bagi mengelak percanggahan di negeri yang berbeza,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, dilaporkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam  (MPKB) mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam kerana memakai seluar pendek hingga pangkal paha di premis perniagaanya.

Bagaimanapun, MPKB bersetuju membatalkan kompaun terhadap wanita berusia 35 tahun itu selepas sesi perbincangan diadakan bersama Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Sementara itu, dilaporkan seorang anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) bertugas di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang didakwa cuba menghalang seorang wanita bukan Islam memakai skirt daripada memasuki pejabat tersebut, Rabu lalu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan