KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 ditangguhkan hari ini dan sepanjang enam hari bersidang pelbagai episod penting dirakam, antaranya pemilihan Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalan Yang Dipertua yang baharu.
Turut mencuri tumpuan adalah perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, yang julung kali dibentang dan dibahas di Dewan Negara.
Ibarat sireh pulang ke gagang, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia politik, membuat ‘kemunculan semula’ apabila dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19.
Pelantikan itu dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama Wan Junaidi, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dilantik, bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat perkhidmatan pada 16 Jun.
“Hanya tujuh minit saya berfikir beri jawapan (menjadi Yang Dipertua Dewan Negara), walau saya telah berjanji untuk bersara, saya tetap menyahut panggilan untuk berkhidmat kepada negara,” katanya sejurus dilantik memegang jawatan itu dan berazam meneruskan usaha mentransformasikan Parlimen Malaysia.
Sidang Dewan Negara, yang berfungsi mengkaji semula dan meluluskan rang undang-undang yang dibawa oleh Dewan Rakyat, juga memilih bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara selepas mendapat 43 undi dalam pengundian lantikan jawatan itu.
Razali menewaskan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris yang dicadangkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Sebelum itu, Wan Junaidi, Nur Jazlan serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan pengerusi sementara Senator Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Perdana Menteri turut berkesempatan menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas pada sesi soal jawab mengenai sejauh mana SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan bekas-bekas Perdana Menteri.
Tanpa sebarang drama dan insiden kekecohan, sidang Dewan Negara, seperti biasa, berjalan lancar dengan perbahasan yang jelas memperlihatan kebijakan, profesionalisme dan kematangan senator, yang dilantik daripada kalangan mereka yang menyumbang khidmat cemerlang atau mencapai kecemerlangan dalam profesion.
Antara isu yang turut dibangkitkan ialah berhubung isu pelarian, kesihatan, aplikasi MySejahtera, belia muflis, pendidikan, dan infrastruktur Sabah dan Sarawak, selain reformasi sistem kesihatan negara melalui usul Kertas Putih Kesihatan yang menyaksikan penyertaan senator terbanyak untuk membahas iaitu seramai 27 orang.
Menerusi persidangan kali ini, sebanyak sembilan rang undang-undang turut diluluskan iaitu Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2023; Rang Undang-undang Pencetakan Teks Al-Qur'an (Pindaan) 2023; Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2023; dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2023.
Turut diluluskan, Rang Undang-undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023; Rang Undang-undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023; Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023; Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023; dan Rang Undang-undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023.
Dua usul iaitu Kertas Putih Kesihatan dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 turut diluluskan di Dewan Negara.
Wan Junaidi dalam ucapan penangguhannya turut menzahirkan penghargaan dan memuji sikap ahli-ahli Dewan Negara yang sentiasa mengikut peraturan dan bersikap matang, selain turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua senator yang hadir.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Negara akan bersidang selama 12 hari bermula 27 Nov hingga 14 Dis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial