AM

PASUKAN PETUGAS KHAS DITUBUH ATASI MASALAH LAMBAKAN CALON UJIAN MEMANDU

26/06/2023 04:16 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengatasi masalah lambakan calon (backlog) ujian memandu di institut memandu (IM) seluruh negara ketika ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata dianggarkan 600,000 calon mengikuti kursus dan ujian memandu setiap tahun dan lambakan itu berlaku disebabkan penutupan IM susulan pandemik COVID-19.

Backlog panjang bukan mereka tidak dapat lesen memandu tetapi masa menunggu itu lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas khas yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu akan mencari kaedah untuk mengatasi lambakan calon ujian memandu serta mempercepatkan urusan mendapatkan lesen.

Loke turut mengumumkan inisiatif kerajaan untuk membantu pengusaha IM iaitu pelanjutan had usia kenderaan yang digunakan di institut daripada tujuh tahun kepada 10 tahun.

“Kita ambil satu pertimbangan untuk membantu pemain industri IM kerana umum diketahui semasa COVID-19 mereka tidak boleh buat apa-apa.

“Kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai dan menambahkan beban pengusaha dan tidak adil,” katanya serta menambah JPJ akan mengintegrasikan perkara itu ke dalam sistem secepat mungkin.

Bagi menggalakkan IM melabur dalam kenderaan baharu, Loke berkata pemeriksaan kenderaan dikecualikan untuk tahun pertama dan kedua.

“Untuk tahun-tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali," katanya. 

Mengenai cadangan membenarkan IM mengendalikan ujian KPP01 berkomputer untuk mendapatkan lesen, Loke berkata JPJ sedang merangka satu prosedur operasi standard (SOP) untuk menjaga integriti dan ketelusan ujian tersebut. 

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah menyampaikan pandangan sekiranya IM dibenarkan untuk mengendalikan ujian itu, dibimbangi terdapat kelonggaran atau kebocoran maklumat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan