AM

Seorang Anggota Tudm Maut, Dua Jurulatih Cedera Ketika Latihan Menembak

26/06/2023 12:52 AM

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang anggotanya maut manakala dua jurulatih cedera ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas tengah hari tadi.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden pada 12.10 tengah hari itu telah mengakibatkan mangsa, yang merupakan penuntut kursus peningkatan pembantu pertahanan kelas 1 Siri 78/23, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua jurulatih yang mengalami kecederaan itu pula diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.

“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota yang terlibat dan menyerahkan kes kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, TUDM menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai serta menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

Katanya maklumat perkembangan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Daerah Tampin Superintenden Anuwal Ab Wahab mengesahkan seorang daripada jurulatih yang cedera dalam insiden itu telah meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Beliau berkata maklumat lanjut akan dikongsi dari semasa ke semasa kerana siasatan masih dijalankan.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan