AM

Pemerkasaan Mata Pencarian, Pembangunan Komuniti Fokus Konvensyen Orang Asli Malaysia

21/06/2023 07:01 PM

BANGI, 21 Jun (Bernama) -- Memperkasa mata pencarian dan pembangunan komuniti adalah agenda penting yang dibincang dalam Konvensyen Komuniti Orang Asli Malaysia: Merangka Semula Inisiatif Kelestarian Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari di sini.

Ketua Yayasan Raise Yourself To Help Mankind (RYTHM) P. Santhi berkata elemen pendidikan, kesihatan, mata pencarian dan ketakbernegaraan komuniti Orang Asli di Malaysia adalah empat perkara utama yang dibincangkan dalam konvensyen itu. 

Beliau berkata pihaknya akan berusaha mengorak langkah penting bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti yang turut menghormati dan mengintegrasikan sistem ilmu serta bahasa Orang Asli. 

"Kita boleh memperkasa golongan belia Orang Asli serta memupuk kesinambungan antara generasi dan pada masa sama, memerangi diskriminasi selain mempromosi kepelbagaian budaya," katanya ketika berucap di konvensyen itu yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini. 

Dari segi kesihatan, Santhi berkata komuniti itu sering berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan susulan kekangan seperti pengasingan geografi, halangan bahasa dan pengangkutan yang terhad, justeru terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan akses mereka kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Menyentuh isu mata pencarian, beliau berkata komuniti itu memerlukan sokongan dalam mempelbagaikan pilihan mereka bagi mengurangkan pergantungan terhadap sumber pendapatan tunggal. 

"Berhubung isu ketakbernegaraan pula, kita perlu meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti Orang Asli mengenai hak, status kewarganegaraan dan kepentingan identiti di sisi perundangan. 

"Kita perlu membantu dalam memperkemas proses untuk Orang Asli mendapatkan status kewarganegaraan, mengurangkan karenah birokrasi dan menangani cabaran dokumentasi yang mungkin mereka hadapi," katanya. 

Santhi juga berkata komuniti Orang Asli di seluruh dunia telah menanggung beban ketidakadilan daris segi sejarah, peminggiran budaya dan ketaksamarataan sosial yang menyaksikan perjuangan, daya tahan serta kebijaksanaan mereka sering diabaikan atau disembunyikan. 

Pada konvensyen itu, satu Surat Niat telah dimeterai antara UKM dan Yayasan RYTHM bagi terus memperkasa mata pencarian komuniti Orang Asli dengan mewujudkan kesedaran mengenai keperluan menganjurkan program dengan golongan itu serta membantu mereka dari segi dokumentasi melalui penyelidikan dan penemuan yang dilakukan oleh UKM. 

Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma pula berkata sebelum memfokus kepada penyelesaian berpaksikan pendapatan untuk komuniti Orang Asli, terdapat empat perkara yang perlu difahami terlebih dahulu.

Beliau berkata risiko yang dihadapi oleh Orang Asli termasuk pandemik COVID-19 dan penyakit disebabkan bencana banjir hendaklah difahami secara mendalam sebelum mengambil sebarang langkah. 

Selain memfokus kepada kemajuan pendidikan, aset bagi mata pencarian mereka seperti modal insan, fizikal, kewangan, sosial dan politik haruslah dibangunkan. 

"Modal insan adalah pendidikan, kesihatan dan kemahiran yang kita perlu bangunkan; modal fizikal pula contohnya macam nelayan, adakah mereka memiliki bot? Penanam padi, adakah mereka memiliki tanah?; Modal kewangan, duit; modal sosial, jaringan mereka; dan akhir sekali modal politik, mereka boleh meluahkan pandangan, ada kesedaran tentang politik," katanya. 

Beliau juga berkata peraturan kerajaan harus dikaji bagi menentukan sama ada menyokong atau menghalang pembangunan Orang Asli kerana ia mungkin mempengaruhi kejayaan keseluruhan kesemua perkara yang telah dinyatakan dalam komuniti itu. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan