| BERITA TERGEMPAR | Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | |
KUANTAN, 21 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melancarkan Sahabat Ubat atau SOBAT, platform dalam talian bagi memudahkan masyarakat menyalurkan aduan berkenaan penjualan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di negeri ini.
Pengarah JKNP Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata tindakan proaktif itu dilaksanakan menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pahang setelah mendapati 58 peratus daripada 168 responden tidak mengetahui cara menyalurkan aduan, hasil tinjauan dalam talian pada 2022.
Justeru, beliau berkata CPF Pahang telah melaksanakan SOBAT iaitu inovasi laman sesawang https://beacons.ai/cpfpahang yang merupakan pusat sehenti untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan dan mendapatkan maklumat berkenaan ubat berdaftar serta kosmetik bernotifikasi.
"Selain itu, kita juga meletakkan kod QR di farmasi dan klinik perubatan malah akan diperluaskan ke premis lain bagi memudahkan masyarakat membuat aduan mereka,” katanya selepas melancarkan SOBAT di ibu pejabat JKNP di sini hari ini.
Beliau berkata selain menyalurkan aduan, SOBAT juga dilengkapi dengan perkhidmatan antaranya semakan status pendaftaran ubat dan notifikasi kosmetik di pautan Quest 3+, semakan ketulenan hologram di pautan Farmachecker selain status kelulusan iklan ubat di pautan www.pharmacy.gov.my/kkliu.
Sementara itu, Dr Nor Azimi memaklumkan dalam tempoh lima tahun bermula 2018, CPF Pahang telah merampas 114,430 unit ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi susulan serbuan ke atas 382 premis, melibatkan jumlah rampasan dianggarkan sebanyak RM3 juta.
"Daerah Jerantut merekodkan nilai rampasan tertinggi. Kebanyakan ubat tidak berdaftar yang dirampas pula ialah ubat kuat dan ubat sendi," katanya.
Katanya dalam tempoh empat tahun bermula 2020, 311 kes telah didakwa di mahkamah melibatkan jumlah denda RM597,100.
Sehingga 12 Jun tahun ini pula, beliau berkata pihaknya telah merampas 13,340 unit ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan nilai rampasan berjumlah RM230,000.
"Saya nasihatkan pengguna supaya berhati-hati beli produk di pasaran...kita tak galak pilih ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi kerana khuatir dengan bahan digunakan yang dilihat boleh mendatangkan masalah kesihatan antaranya kegagalan buah pinggang dan kanser," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial