JENAYAH & MAHKAMAH

Mo Baharu Penipuan Telefon Guna Dokumen Palsu Ada Logo, Tandatangan Polis

20/06/2023 12:12 AM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Memperdayakan mangsa dengan menghantar dokumen palsu menggunakan paparan waran tangkap atau notis kehadiran yang mempunyai logo polis, merupakan modus operandi terbaharu sindiket penipuan dalam talian yang dikesan. 

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan malam ini berkata pihaknya menerima dua laporan polis yang menggunakan modus operandi berkenaan, kononnya melibatkan Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Perlis.

Beliau berkata kes pertama melibatkan seorang peniaga kedai makan di Teluk Intan, yang ditipu kononnya waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya, namun ia tidak melibatkan kerugian apabila peniaga itu terus membuat laporan polis, manakala dalam kes kedua seorang pensyarah universiti menjadi mangsa, mengakibatkan beliau mengalami kerugian RM98,000.

Difahamkan kedua-dua kes berlaku baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata sepanjang tahun lepas 358 kes ‘phone scam’ telah dilaporkan, membabitkan kerugian berjumlah RM15,110,598.87, manakala bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, 181 kes ‘phone scam’ disiasat melibatkan kerugian berjumlah RM8,088,363.49

Katanya antara modus operandi yang digunakan ialah menyamar sebagai pihak berkuasa, institusi kewangan, mahkamah, syarikat insurans dan syarikat penghantaran.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan