EKONOMI

229,613 BORANG B DITERIMA SETAKAT 14 JUN, ANGKA MASIH RENDAH - LHDN

19/06/2023 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sejumlah 229,613 Borang B secara e-filing bagi taksiran cukai 2022 dengan nilai cukai RM1.21 bilion setakat 14 Jun lepas, sebelum tarikh akhir pada 30 Jun ini.

Pengarah Cawangan Pembayar Cukai Besar LHDN Kamarudin Hashim berkata angka tersebut masih rendah berbanding sebanyak 777,579 Borang B dengan cukai bernilai RM5.56 bilion yang diterima pada 2022 bagi tahun taksiran 2021.

“Ini berikutan masih ramai yang memilih untuk membayar cukai di saat-saat akhir. 

“(Perlu diingatkan bahawa) pembayar cukai yang gagal membuat taksiran dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan penalti sehingga 300 peratus manakala yang gagal melaporkan pendapatan secara tepat boleh dikenakan penalti sehingga 100 peratus daripada jumlah cukai taksiran,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk ‘Layanan Cukai ke Atas Pendapatan Perniagaan Individu,’ malam ini.

Sehubungan itu, Kamarudin mengingatkan agar mereka terbabit yang layak dikenakan cukai untuk menyedari dan menunaikan tanggungjawab tersebut, terutama mereka dengan pendapatan perniagaan individu daripada hasil perniagaan pemilikan tunggal.

Menurutnya, kelompok itu adalah syarikat yang menjalani perniagaan runcit, jualan langsung, penternakan, gerai, firma guaman, bidang penulisan, penyanyi, ‘youtuber’ dan pempengaruh.

Malah, katanya, kesedaran membayar cukai dalam kalangan kategori tersebut masih rendah berbanding individu dengan pendapatan penggajian dan syarikat korporat.

Berikutan itu, Kamarudin berkata, pihak LHDN kini aktif menjalankan libat urus dengan mereka daripada kategori pendapatan perniagaan individu terbabit dalam usaha meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab membayar cukai.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan