ALOR SETAR, 14 Jun (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) di negeri ini dengan penahanan 15 lelaki termasuk seorang warga China, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata dengan penahanan mereka, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes kecurian kabel membabitkan tiga kumpulan berasingan di Kubang Pasu, Alor Setar dan Baling.
“Bagi kes pertama, polis menahan lapan lelaki anggota ‘Geng Zali Black’ berusia antara 30 hingga 45 tahun di beberapa lokasi di Kedah dan Perlis selepas bertindak atas aduan kontraktor TNB pada 6 Jun lepas berhubung kehilangan dua dram kabel milik TNB di Kubang Pasu yang dianggarkan berjumlah RM80,000.
“Kumpulan ini menyasarkan kabel milik syarikat yang diletakkan di tepi jalan sebelum proses pemasangan dan akan membawa kabel itu terus kepada pembeli menggunakan lori pengangkut yang disewa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Fisol berkata bagi kes kedua, polis menerima maklumat berkaitan kejadian mencuri kabel milik TM di kawasan Stadium Peremba, Alor Setar pada 9 Jun lepas dan susulan itu, berjaya menahan empat lelaki anggota ‘Geng Aji Lebai’ berusia antara 38 hingga 54 tahun.
“Polis telah menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dinaiki lelaki berusia 39 tahun sebelum menjumpai kabel dan peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan itu. Hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki tiga lagi lelaki.
“Semasa tangkapan dijalankan, suspek telah bertindak mengundur dan melanggar seorang anggota polis. Polis telah bertindak melepaskan satu das tembakan dan seorang daripada suspek mengalami cedera ringan manakala anggota polis berkenaan patah kaki kanan,” katanya.
Menurut Fisol, bagi kes ketiga pada 11 Jun lepas, polis menahan dua kenderaan dinaiki tiga lelaki berusia antara 37 hingga 42 tahun di kawasan Masjid Titi Teduri, Baling dan hasil pemeriksaan menemukan kabel TM yang dianggarkan bernilai RM20,000.
“Ketiga-tiga kumpulan ini menggunakan modus operandi yang sama iaitu memakai ves dan berpura-pura sedang menjalankan penyelenggaraan bagi kedua-dua syarikat berkenaan. Nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM150,000.
“Hasil saringan air kencing mendapati mereka positif terhadap Methamphetamine dan ada yang mempunyai rekod jenayah lampau. Kesemuanya sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307, Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata polis sedang mengesan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes berhubung kecurian kabel dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan ke talian talian MERS 999.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial