AM

SATU AEROTRAIN KLIA DIJANGKA BEROPERASI TAHUN DEPAN - LOKE

14/06/2023 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Satu daripada dua perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dijangka beroperasi tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memastikan kerja-kerja menaik taraf sistem serta membina aerotrain yang baharu itu siap mengikut jadual atau lebih awal.

“Tren ini mengalami ‘end of life’, sudah berkhidmat 25 tahun. Keputusan untuk menggantikan tren ini sepatutnya dilaksanakan lebih awal, namun atas kelewatan membuat keputusan tersebut menyebabkan kita terpaksa hentikan perkhidmatannya.

“Perkara ini kita tahu memang memberi imej buruk kepada negara kerana ia merupakan pintu masuk negara dan saya telah memberi tekanan kepada MAHB supaya ia dilaksanakan mengikut jadual dan mesti diawalkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat Hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung langkah kerajaan dalam mengatasi masalah perkhidmatan aerotrain di KLIA yang memberi impak terhadap proses ketibaan pelancong.

Loke berkata projek aerotrain berkenaan bukan di bawah tanggungan Kementerian Pengangkutan tetapi dibiayai oleh MAHB, namun kelemahan yang berlaku perlu diperbaiki segera demi mengelakkan impak negatif kepada perkhidmatan pengangkutan awam di pintu masuk negara itu.

Menjawab soalan asal Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung pelan membaik pulih sistem transit aliran ringan (LRT) di Lembah Klang yang kerap mengalami kerosakan, Loke berkata beberapa langkah sedang dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad dan Rapid Rail bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“Bagi LRT Laluan Ampang, kerja-kerja overhaul dijalankan terhadap sistem komponen tren melibatkan kesemua 50 tren sejak Oktober 2022 dan dijangka siap Disember 2027, manakala laluan Kelana Jaya, pembelian 19 set tren empat gerabak baru (KLAV27) akan diterima secara berperingkat bermula Ogos ini.

“Bagi laluan monorel, usaha menyiapkan dua tren monorel baharu (RSV31 dan RSV32) dan membaik pulih sebuah tren monorel (RSV24) yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025,” katanya.

Selain itu, Loke berkata penggantian roda tren bagi laluan Kajang yang melibatkan semua 58 tren dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2025.

Beliau turut mengingatkan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam supaya mengamalkan budaya penyelenggaraan mengikut jadual dan bukan hanya dibuat apabila tren mengalami masalah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan