KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- British Malaysian Chamber of Commerce Bhd (BMCC) akan terus membentuk masa depan yang mesra serta sejahtera untuk landskap perniagaan United Kingdom (UK) dan Malaysia.
Pengerusi BMCC, Mark Arthun berkata kejayaan dewan itu dan transformasinya menjadi entiti antarabangsa yang prolifik tidak dapat dinafikan berpunca daripada sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ahli dan pihak berkepentingan.
Dedikasi termasuk usaha kolaboratif anggotanya telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap perniagaan UK-Malaysia.
"Kami mengiktiraf serta menghargai komitmen, kepakaran dan inovasi anda yang telah memacu dewan ini ke hadapan," katanya pada Majlis Gala Ulang Tahun ke-60 BMCC dan Majlis Makan Malam Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Tahunan ke-4 semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Duta Perdagangan Perdana Menteri UK ke Malaysia, Richard Graham termasuk Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay.
Selain itu, Arthun berkata BMCC telah memulakan perjalanan dinamik pada 2023, dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan jawatankuasa dan memperkenalkan rangkaian.
Dewan itu mengakui kepentingan perkhidmatan kepada ahli-ahlinya dan telah menghidupkan semula jawatankuasa sedia ada di samping menubuhkan jawatankuasa baharu, seperti jawatankuasa penjagaan kesihatan dan pembinaan persekitaran bagi memenuhi keperluan industri tertentu yang diwakili oleh ahli-ahlinya.
"Jawatankuasa-jawatankuasa ini memupuk kerjasama, perkongsian pengetahuan dan peluang perniagaan dalam sektor masing-masing," katanya.
Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC ditubuhkan pada 2018 untuk meraikan hubungan perniagaan yang telah lama terjalin antara UK dan Malaysia dengan mengiktiraf serta menghormati pencapaian terbaik syarikat-syarikat British dan Malaysia dalam pelbagai kategori kejayaan.
Tahun ini, YTL Corporation Bhd merangkul Anugerah Perniagaan Terbaik UK-Malaysia, setelah mempamerkan rekod cemerlang pelaburan di UK dalam tempoh dua hingga lima tahun lepas dengan membina perniagaan tempatan yang berjaya, seterusnya, membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
BMCC turut menyampaikan kepada Pengarah Urusan YTL, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping dengan Anugerah Personaliti Perniagaan Terbaik UK-Malaysia atas peranan luar biasa beliau dalam pembangunan pelaburan di Wessex dan Bristol, UK.
EcoWorld International Bhd serta Ballymore telah dinobatkan sebagai Perkongsian Terbaik UK-Malaysia atas usaha sama mereka untuk kedua-dua negara, manakala University of Reading dan Universiti Tunku Abdul Halim memenangi Anugerah Perkongsian Institusi Pendidikan UK-Malaysia.
Syarikat teknologi perubatan Smith & Nephew Operations Malaysia meraih Anugerah ESG Cemerlang (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) atas pencapaian mereka dalam mengguna pakai amalan ESG.
BMCC turut menyampaikan Anugerah Teknologi dan Inovasi kepada Mott MacDonald Malaysia, yang telah berjaya mencari penyelesaian baharu melalui penggunaan teknologi digital, inovatif serta disruptif untuk beroperasi dengan cekap dan menyumbang kepada peningkatan produktiviti Malaysia.
Sementara itu, Owen Mumford Sdn Bhd memenangi Anugerah Kepelbagaian dan Penyertaan. Anugerah ini mengiktiraf organisasi di semua industri yang telah menunjukkan komitmen cemerlang dalam merangsang semangat kepelbagaian dan penyertaan di tempat kerja.
Hay, yang juga pengerusi panel penilaian, berkata semua calon anugerah telah menyumbang kepada hubungan perdagangan UK-Malaysia yang semakin berkembang.
Beliau berkata perdagangan dua hala telah meningkat 8.9 peratus dan mencecah £5.6 bilion (£1 = RM5.77) pada 2022.
"Dengan UK telah memuktamadkan rundingan untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perniagaan Britain serta Malaysia tidak lama lagi akan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang baharu yang akan datang," katanya.
Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-60 BMCC berfungsi sebagai bukti semangat serta intipati, merangkumi pencapaian cemerlang dan sumbangan perniagaan yang tidak ternilai dalam rangkaiannya.
Acara ini memberikan peluang yang luar biasa untuk merenungkan perjalanan BMCC, menonjolkan kemajuan luar biasa yang dicapai dalam memajukan 'Kecemerlangan Perniagaan UK-Malaysia'.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan