SUKAN

Kl City Ikat Penang 1-1 Di Stadium Bandaraya

09/06/2023 01:27 AM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Penang FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dan kelebihan seorang pemain pada 10 minit terakhir, apabila terikat 1-1 menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya, malam ini.

Skuad ‘The City Boys’ bermula garang dengan jaringan seawal minit ketujuh, menerusi pemain import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre yang bijak menyudahkan hantaran cantik daripada Paulo Josue, dengan menewaskan dua tonggak pertahanan Penang.

Namun, skuad Harimau Kumbang berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang import dari Brazil Giovane Gomes, yang meledak masuk bola lantunan yang gagal dikawal dan dikeluarkan oleh pertahanan KL City pada masa tambahan separuh mata pertama (minit 45+1).

KL City terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan import dari Australia, Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah pada minit ke-79, kerana menjatuhkan Gomes ketika cuba menghalangnya di hadapan kotak penalti.

Pasukan tuan rumah mendapat peluang untuk mendahului perlawanan menerusi sepakan percuma susulan insiden itu, namun percubaan penyerang import dari Lubnan, Soony Saad sedikit melewati palang gol.

Usaha Penang yang terus melakukan serangan bertali arus untuk mendapatkan gol kedua tidak terhasil.

Malah perlawanan itu dicemari dengan satu lagi insiden kad merah apabila pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin mengarahkan Mohammad Rahmat Makasuf keluar padang, selepas menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan (minit 90+8).

Sementara itu, PDRM FC terus menjadi ‘kuda hitam’ Liga Super musim ini, apabila mencatatkan kemenangan mengejut 1-0 ke atas Sabah FC, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pemain sayap, Nabil Ahmad Latpi muncul wira PDRM apabila meledak jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-26.

Skuad Sang Saka Biru, sebelum ini pernah mencipta kejutan dengan menewaskan Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) masing-masing dengan jaringan 1-0.

Keputusan malam ini menyaksikan Sabah kekal di kedudukan kelima carta dengan 24 mata selepas 14 aksi, diikuti KL City di tempat keenam (23 mata), manakala PDRM melonjak ke tempat kelapan (19 mata) dan Penang (15 mata) kekal di tempat ke-10.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan