SUKAN

SKUAD BOLA SEPAK CP TAMAT KEMARAU 10 TAHUN EMAS

09/06/2023 01:08 AM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

PHNOM PENH, 8 Jun - Skuad bola sepak cerebral palsy (CP) lelaki berjaya menamatkan kemarau pingat emas dalam tempoh sedekad selepas menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 pada hari keenam Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di sini, malam ini.

Penentuan penalti terpaksa dijalankan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat masa sebenar perlawanan di Stadium Olimpik Nasional, sekali gus memperbaiki pencapaian dua pingat gangsa yang diraih skuad negara di APG edisi 2013 (Myanmar) dan  2017 (Kuala Lumpur). 

Anak buah Asnan Md Zuki kali pertama membuat penampilan dalam APG di Naypyidaw, Myanmar pada 2013. 

Keputusan itu malah menyaksikan skuad negara unggul merangkul pingat emas ke-47 negara di Kemboja, disertai 38 perak dan 28 gangsa hari ini. 

Bagaimanapun, temasya dwitahunan yang akan melabuhkan tirainya esok masih berbaki satu acara iaitu badminton. 

Tumpuan kontinjen negara esok pastinya terarah kepada kem badminton yang mengesahkan slot final menerusi tiga acara iaitu Mhd Amin Burhanuddin (perseorangan lelaki SL4- kecacatan fizikal). 

Pemain berusia 31 tahun itu akan membuat perhitungan bersama pemain Indonesia Hikmat Ramdani pada aksi final perseorangan SL4, untuk mengubah warna pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi lalu di Solo, Indonesia kepada emas, esok. 

Selain itu, Muhammad Ikhwan Ramli akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan lelaki WH1- berkerusi roda serta beregu lelaki WH1-WH2 bersama Noor Azwan Noorlan. 

Muhammad Ikhwan perlu mempamerkan aksi terbaiknya pada aksi final sekiranya beliau mahu mempertahankan kedua-dua kejuaraan yang dimenanginya di Solo. 

-- BERNAMA 

 

TAG: rangkuman, APG, badminton, emas, bola sepak CP 


FRHN FRHN DC


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan