EKONOMI

Kempen Taiwan Go 2023 Sasar Jualan Lebih Rm276 Juta

08/06/2023 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Kempen antarabangsa Taiwan Go yang dilancarkan pada 2022 telah menjana peluang perniagaan melebihi RM276 juta (US$1 = RM4.60), manakala versi 2.0 tahun ini menjanjikan acara yang lebih besar dan lebih baik, menurut Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia.

Pengarah Bahagian Ekonominya, James Chang berkata kempen promosi tersebut telah membantu industri makanan dan minuman Taiwan dalam usaha untuk mengembangkan jangkauan di pasaran global.

“Sebagai tambahan kepada banyak pameran berskala besar di seluruh Taiwan, kempen itu juga akan diadakan di pusat beli-belah dan pasar raya besar di Malaysia, Korea Selatan dan Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Chang keupayaan inovatif industri makanan Taiwan dan kawalan yang ketat terhadap rasa, kualiti dan pembungkusannya telah menjadikan makanan Taiwan popular dalam kalangan rakyat Malaysia. 

“Bukan sahaja banyak rakyat Malaysia biasa dengan produk seperti tart nanas, kek matahari, telur besi dan buah-buahan kering, malah, banyak juga yang mempunyai jenama pilihan mereka.

“Ini membuktikan kemasukan yang luar biasa dan pengiktirafan jenama yang dibina selama bertahun-tahun mengekalkan standard tertinggi dari segi rasa, kualiti, pembungkusan dan inovasi,” katanya.

Chang berkata dedikasi dalam kalangan pengedar tempatan dan sokongan daripada kerajaan Taiwan turut membuahkan hasil, justeru, rakyat Malaysia kini boleh menikmati pastri Taiwan pada bila-bila masa.

Kempen pada tahun ini bertemakan Yummy Taiwan dan akan menampilkan lebih 300 produk makanan dan minuman negara itu daripada 30 jenama terkenal.

Orang ramai boleh mengunjungi acara Jelajah Makanan Yummy Taiwan 2023 di pusat beli-belah 1Utama selama lima hari yang bermula semalam (7 Jun) untuk berpeluang mencuba dan membeli snek terkenal seperti telur gulung daripada HiWalk Co dan kek mentega daripada Yu Jan Shin.

Yummy Taiwan memperkenalkan pengguna kepada banyak produk makanan paling popular di Taiwan dan memberi sampel percuma untuk pelbagai produk yang dikaji, antaranya kacang tanah oleh Lung-Ching, minuman sukan (serbuk) daripada Wellness Concept, sos cili pedas daripada Hsiang Gi, teh susu daripada Kuang Chuan Dairy dan daging berasaskan tumbuhan daripada Sanyang Enterprise.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan