AM

SKM PERUNTUK RM1 JUTA UNTUK PROGRAM JUALAN MADANI KOPERASI TAHUN INI

08/06/2023 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi pelaksanaan program Jualan MADANI Koperasi pada tahun ini dalam usaha mempromosi dan menggalakkan orang ramai berbelanja di kedai runcit koperasi yang dikenali sebagai Coopmart.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata program Jualan MADANI Koperasi menawarkan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat.

“Sehingga 31 Dis 2022, sebanyak 104 Coopmart telah terlibat dalam Jualan MADANI Koperasi yang telah memberi manfaat kepada 527,447 orang dengan jumlah penjimatan harga barangan bernilai lebih RM5.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023, sebelum ia diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini selepas ia dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini, terdapat 2,581 Coopmart beroperasi di seluruh negara dengan 38 Coopmart telah dinaik taraf sebagai pusat pengedaran yang merekodkan jumlah perolehan sebanyak RM1.25 bilion pada tahun lepas.

Ewon berkata kementerian melalui SKM juga komited untuk terus memperkasa penglibatan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan sebagai usaha membantu kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup dan menjamin bekalan makanan yang berterusan.

Beliau berkata terdapat 15,315 koperasi berdaftar dengan jumlah keanggotaan 7.3 juta orang sehingga 31 Dis lepas melibatkan jumlah perolehan sebanyak RM45.5 bilion.

Katanya 10 daripada koperasi itu tersenarai dalam Indeks Koperasi Terbaik Malaysia, manakala bilangan koperasi yang tidak aktif adalah 1,659 yang tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam tempoh tiga tahun berturut-turut tetapi masih mengadakan mesyuarat agung tahunan atau akaunnya diaudit dalam tempoh itu.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023 yang diluluskan melalui pindaan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665) antara lain membahagikan kuasa antara pengerusi dan ketua pegawai eksekutif SKM bagi memperkukuhkan tadbir urus suruhanjaya berkenaan.

Pindaan itu menjadikan jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif SKM dipegang dan dilaksanakan oleh dua individu yang berbeza selain komposisi lembaga pengarah SKM juga ditambah baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan