BERITA TERGEMPAR   Helicopter crash tragedy affects families of Malaysian Armed Forces, a big loss to the nation - PM Anwar | RMN helicopter crash: PM Anwar expresses condolences, prays the victims' families be given strength in time of tragedy | Tragedi helikopter terhempas beri kesan kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia, kehilangan besar buat negara - PM Anwar | Agong saddened by RMN helicopter crash in Lumut, sends his condolences to victims' families | Tragedi helikopter terhempas beri kesan kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia, kehilangan besar buat negara - PM Anwar | 
AM

EAIC BANGUN SPAPS MUDAHKAN URUSAN ADUAN, SIASATAN

07/06/2023 03:01 PM

PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membangunkan Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan (SPAPS) untuk membolehkan orang awam menyalurkan aduan terhadap pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan secara dalam talian.

SPAPS yang merupakan peralihan daripada pengurusan aduan secara manual sebelum ini bagi pengendalian aduan dan siasatan, boleh diakses menerusi pautan https://spaps.eaic.gov.my/.

Pengerusi EAIC Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada majlis pelancaran SPAPS di sini hari ini berkata EAIC harus memastikan sistem penyampaiannya lebih berkesan dengan mengambil kira kebanyakan urusan kini dilakukan secara dalam talian dan seiring pembudayaan masyarakat celik teknologi.

“Bagaimanapun EAIC masih terus menerima aduan menerusi saluran lain antaranya e-mel, surat rasmi, surat layang atau hadir sendiri ke pejabat EAIC,” katanya yang turut melancarkan Pelan Strategik EAIC 2023-2027 pada majlis itu.

Mohd Sidek berkata sistem tersebut membolehkan pegawai siasatan EAIC mengendalikan aduan dengan efektif kerana dokumen berkaitan yang diperlukan dapat diakses dengan lebih mudah tanpa bergantung kepada fail fizikal.

Menurut kenyataan EAIC yang dikeluarkan kepada media, suruhanjaya itu merekodkan sebanyak 302 aduan berkaitan salah laku penguat kuasa hingga 31 Mei lepas, manakala bagi 2022 agensi itu menerima sejumlah 704 aduan.

Semakan pada laman sesawang EAIC (https://www.eaic.gov.my/data-statistik/statistik/siasatan) menunjukkan setakat 30 April lepas, sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masing-masing satu kertas siasatan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

Bagi tempoh sama juga, laman sesawang itu memaparkan 82 peratus kertas siasatan masih dalam tindakan manakala 18 peratus kes telah diselesaikan.

Selain PDRM, EAIC turut menyelia 20 jabatan lain antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Sementara itu, pelan strategik berkenaan menggariskan empat teras dan 17 strategi antaranya pemerkasaan penyampaian perkhidmatan, memantapkan dasar dan perundangan yang efektif serta memperkukuh keupayaan dan tadbir urus EAIC bagi mencapai kecemerlangan holistik.

Mohd Sidek berkata ia merupakan kesinambungan Pelan Strategik EAIC 2017-2022 dengan pemantauan pelaksanaan pelan strategik itu akan diadakan empat kali setahun melalui mesyuarat jawatankuasa.

“Pelan ini turut mengambil kira dasar semasa kerajaan, komitmen tinggi dan cabaran semasa yang dihadapi bagi memastikan EAIC kekal relevan sebagai badan pengawasan integriti agensi penguatkuasaan seliaan,” katanya.

Pada majlis sama, seramai enam individu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala 13 lagi menerima Sijil Penghargaan Perkhdimatan Cemerlang tahun 2022.

Turut diumumkan keputusan pertandingan mencipta video kreatif TikTok bertemakan ‘Integriti Dijulang Negara Bermaruah’, yang berlangsung sejak 13 Mac hingga 30 April lepas bertujuan menggalakkan kesedaran orang awam mengenai peranan dan fungsi EAIC di samping meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai amalan integriti.

Pertandingan tersebut telah menerima 70 penyertaan daripada agensi awam serta pelajar universiti dan koleksi video ketiga-tiga pemenang boleh diakses melalui media sosial dan laman sesawang EAIC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan