AM

Uniten Tawar Program Asasi Berkualiti Dengan Diskaun Berpatutan

07/06/2023 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menawarkan program asasi berkualiti tinggi dengan yuran diskaun sebanyak RM6,000 untuk semua program berkenaan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan O-Levels di Malaysia serta setara, pada tahun ini. 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNITEN Profesor Dr Ramesh Singh berkata penawaran harga istimewa itu sebagai menyahut seruan dan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Malaysia MADANI.

“UNITEN juga menawarkan biasiswa dan diskaun yang mencukupi untuk yuran pengajian bagi menyokong kewangan pelajar serta menyediakan enam program asasi dalam bidang Kejuruteraan, Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Perakaunan, Pentadbiran Perniagaan dan Ekonomi dan Pengurusan.

“Kampus utama di Putrajaya menawarkan infrastruktur dan kemudahan penginapan yang sangat baik pada harga yang berpatutan, dengan akses mudah ke pelbagai kemudahan di kawasan Lembah Klang, Kajang, Seri Kembangan dan Puchong,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ramesh berkata di UNITEN semua program asasi disesuaikan dengan piawaian antarabangsa dan berkait dengan industri, membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang seperti Kejuruteraan, Perniagaan, Sains Komputer dan banyak lagi.

Sementara itu, Ramesh berkata kurikulum program di UNITEN juga direka bentuk dengan baik dan disampaikan dengan pendekatan berfikiran ke hadapan yang mencerminkan piawaian universiti bertaraf dunia.

"UNITEN mempunyai rekod prestasi luar biasa dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti tinggi sejak 26 tahun lepas. Hampir 100 peratus pelajar yang menamatkan pengajian asasi mendapat kemasukan ke program ijazah pilihan mereka di UNITEN dan bukannya berpindah ke universiti lain,” katanya

Menurut beliau antara sebab utama pelajar kekal di UNITEN selepas menamatkan pengajian asasi adalah kerana kadar kebolehpasaran siswazah UNITEN yang tinggi iaitu 96.8 peratus dan ia  menunjukkan universiti berkenaan memperoleh reputasi melahirkan graduan holistik yang mendapat pekerjaan dalam bidang pengajian pilihan mereka.

Katanya hubungan yang kukuh dengan industri juga telah banyak memberi manfaat kepada pelajar dalam mendedahkan mereka kepada penyelesaian masalah sebenar dan kompleks di dalam dan di luar bilik kuliah.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan