GEORGE TOWN, 6 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan dikendalikan empat warga Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri, dalam pemeriksaan di kedudukan 18 batu nautika barat Pulau Kendi, dekat sini semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata semasa rondaan rutin di perairan pulau itu, pasukan bot ronda APMM telah mengesan bot nelayan tersebut pada 2 petang semalam lalu membuat pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan kelas C itu dikendalikan empat kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Myanmar dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja.
"Kesemua lelaki berumur 26 hingga 31 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan seberat 100 kilogram untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan