EKONOMI

Bursa Malaysia Puji Plc Terima Kepelbagaian Gender Dalam Lembaga Pengarah

02/06/2023 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd memuji usaha syarikat senaraian awam (PLC) yang menunjukkan tindakan positif terhadap kepelbagaian gender dalam komposisi Lembaga Pengarah mereka. 

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift berkata Bursa Malaysia mengagumi majoriti PLC yang telah mematuhi jangkaan yang diumumkan 18 bulan lepas.

“Ia adalah langkah penting dalam hala tuju yang tepat untuk korporat Malaysia. Bagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa beberapa PLC masih belum mematuhi keperluan tersebut.  

“Kita perlu segera menangani isu beberapa PLC yang masih mengekalkan semua lelaki dalam Lembaga Pengarah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehingga 1 Mei 2023, purata peratusan pengarah wanita kira-kira sebanyak 22 peratus daripada syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut Kesaksamaan Gender dalam Kepimpinan Korporat: Laporan Analisis Serantau pada Disember 2022, Malaysia ialah satu daripada hanya empat pasaran sedang pesat membangun apabila perwakilan wanita dalam Lembaga Pengarah lebih 20 peratus daripada 100 PLC utama.

Antara cabaran dalam perjalanan ke arah mencapai sasaran 30 peratus ialah mengkaji amalan beberapa PLC yang mempunyai semua lelaki dalam Lembaga Pengarah, menurut bursa saham itu.

Bagi memangkin perubahan, katanya pada Januari 2022 bahawa PLC dengan permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion sehingga 31 Dis 2021 akan melantik sekurang-kurangnya seorang ahli Lembaga Pengarah wanita menjelang 1 Sept 2022.  

Keperluan itu perlu dipatuhi menjelang 1 Jun 2023 dengan Bursa Malaysia mengambil tindakan kawal selia yang bersesuaian untuk ketidakpatuhan, katanya.

“Bursa akan mengukuhkan keperluan untuk Lembaga Pengarah menunjukkan standard tanggungjawab dan akauntabiliti yang boleh dicontohi ke arah memacu prestasi korporat, selain memartabatkan kepelbagaian, ekuiti dan prinsip keterangkuman,” kata Umar.

PLC Pasaran Utama dikehendaki mengurus dan menggalakkan kepelbagaian dengan melaksanakan dasar, proses dan inisiatif yang berkaitan serta membuat pendedahan yang sepadan dalam penyata atau laporan kemampanan mereka bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.

PLC Pasaran ACE akan tertakluk kepada keperluan ini mulai tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan