DUNIA

Fda As Lulus Vaksin Rsv Kedua Untuk Mereka Berusia Lebih 60 Tahun

01/06/2023 10:45 AM

WASHINGTON, 1 Jun (Bernama-UPI) -- Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan vaksin virus pernafasan “syncytial” Pfizer pada Rabu, lapor United Press International (UPI).

Vaksin dikenali ABRYSVO itu ialah vaksin Virus Penafasan Syncytial (RSV) kedua untuk mereka yang berumur lebih 60 tahun yang diluluskan oleh FDA.

Pada Mei, agensi itu meluluskan Arexvy yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal GSK.

Menurut kenyataan akhbar Pfizer, ABRYSVO telah diuji dalam percubaan klinikal ke atas 37,000 peserta dan dijangka tersedia menjelang musim puncak RSV berikutnya iaitu pada musim gugur ini.

Kelulusan hari ini merupakan langkah besar untuk Pfizer membantu meringankan beban pesakit RSV dalam kalangan penduduk berisiko tinggi, termasuk orang dewasa yang lebih berusia, kata naib presiden kanan dan ketua pegawai saintifik penyelidikan dan pembangunan Pfizer, Annaliesa Anderson, dalam satu kenyataan.

Anderson berkata industri farmaseutikal telah berusaha mengeluarkan vaksin untuk RSV sejak lebih 50 tahun dan dengan dua kelulusan oleh FDA, penjagaan kesihatan akan mempunyai kemudahan baharu dalam menangani penyakit yang kini menyebabkan lebih 60,000 orang dewasa dirawat di hospital setiap tahun.

Menurut Pfizer 6,000 hingga 10,000 orang dewasa maut setiap tahun akibat RSV. Virus ini mudah berjangkit, menular melalui sentuhan langsung dengan titisan daripada batuk dan bersin. 

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit memberi amaran bahawa bayi, kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai sistem imun yang lemah, paling teruk terjejas akibat penyakit itu.

-- BERNAMA-UPI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan