IPOH, 31 Mei (Bernama) -- Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama kerajaan negeri menyediakan Program Latihan Mahir Kerja bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan tempat di industri.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan berkata program itu adalah bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kepada anak Perak di negeri ini.
"Peserta berumur 16 tahun ke atas yang menyertai program ini akan menjalani latihan selama dua minggu dan diberikan elaun. Ibu bapa dan penjaga kepada peserta tidak perlu risau jika menghantar anak kerana akan diberikan pendedahan berkaitan industri.
"Program ini merupakan fasa pertama yang berlangsung sehingga Jun dan akan bersambung ke fasa kedua bermula Julai hingga November. Peserta yang terlibat boleh memilih lokasi di zon yang terdekat dan boleh merujuk laman web PASAK untuk maklumat lanjut,” katanya pada sidang media berkaitan Bengkel Koridor TVET Malaysia siri 3 dan 4 di sini hari ini.
Sivanesan berkata sebanyak 36 peratus pelajar lepasan SPM yang tidak lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu sekali gus tidak melayakkan diri untuk menyambung pelajaran ke Institusi Pelajaran Tinggi Awam atau Swasta.
"Kami berbincang bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pengarah bagi mencari solusi. Program ini juga akan didedahkan kepada ibu bapa bagi menarik minat mereka untuk menghantar anak-anak.
"Selangkah peserta menyertai program ini, syarikat-syarikat yang terlibat antaranya Proton City dan Felcra Education Services Sdn Bhd akan menjamin pekerjaan sebaik mereka habis latihan dua minggu,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial