SUKAN

RACHEL TEKAD TEBUS KEKECEWAAN DI AIC HONG KONG

30/05/2023 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Selepas gagal menjuarai Kejohanan Skuasy Individu Asia (AIC) di Pakistan dua tahun lepas, atlet skuasy wanita negara, Rachel Arnold kini memasang impian menebus kekecewaan itu dalam kejohanan sama yang akan berlangsung di Hong Kong dari 6 hingga 10 Jun ini.

Rachel yang menghuni ranking ke-27 dunia, berkata beliau sudah bersedia untuk melakar kejutan selepas tewas pada aksi final bagi saingan wanita di tangan pemain Hong Kong, Tong Tsz Wing pada kejohanan dua tahun lepas itu.

“Saya sasarkan untuk ke final lagi kali ini dan harap mampu merangkul kejuaraan AIC buat pertama kali.

“Sekarang ini fokus saya ialah meningkatkan kecergasan di gelanggang kerana diyakini ia dapat membantu saya melangkah jauh di kejohanan itu,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Kapten Batik dan Kaki Jersi selaku penaja rasmi atlet skuasy ke AIC di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai saingan di kejohanan itu, Rachel mengakui bakal berdepan cabaran sengit pencabar lain termasuk kehadiran pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Satomi Watanabe yang disahkan bertanding.

Selain Rachel, Aifa Azman, S. Sivasangari dan Noor Ainaa Amani Ampandi turut menggalas cabaran negara di AIC bagi kategori wanita, manakala bagi kategori lelaki terdiri daripada juara bertahan Ng Eain Yow, Ivan Yuen, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dan Mohd Syafiq Kamal.

Pada edisi AIC 2021 di Islamabad, Pakistan, Rachel muncul naib juara saingan wanita. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan