AM

Maidam Peruntuk Zakat Pendidikan Rm68.1 Juta

29/05/2023 02:08 PM

KUALA TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan RM68.1 juta untuk bantuan zakat pendidikan Terengganu bagi tahun ini.

Yang Dipertuanya Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata setakat Mei ini RM21 juta telah diagihkan kepada pelajar asnaf melalui 13 program termasuk bantuan awal pendidikan, bantuan pengajian Islam, bantuan pengurusan pondok dan bantuan Institusi Pendidikan Tinggi.

"MAIDAM menyediakan pelbagai program bagi membantu anak-anak asnaf mendapat pendidikan yang sempurna dalam suasana ekonomi yang mencabar.

"Bantuan pendidikan meliputi pelbagai peringkat dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dana Sumbangan Pendidikan Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) di sini, hari ini.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.    

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPM, Datuk Wan Ismail Wan Yusof berkata RM1 juta dana berjaya dikumpul menerusi YPM untuk diagihkan kepada pelajar asnaf yang layak tahun ini.

Menurut beliau lima program baharu telah diwujudkan di bawah YPM untuk membantu pelajar Terengganu mendapat pendidikan yang sempurna melalui wang sumbangan orang ramai.

"Lima program baharu termasuk Skim Anak Angkat, Prihatin@School, Prihatin@University, Boleh YPM Tolong serta Infra dan Fasiliti Pondok.

"Program Skim Anak Angkat bertujuan menyediakan wang saku harian kepada pelajar yang berdepan cabaran kewangan daripada peringkat sekolah rendah sehingga ke pengajian tinggi," 

Wan Ismail berkata untuk tahun depan pihaknya menyasarkan kutipan sumbangan RM10 juta daripada syarikat korporat dan orang persendirian yang peka serta prihatin dengan pendidikan anak-anak Terengganu.          

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan