AM

KEWARTAWANAN DIPACU KECERDASAN BUATAN DIBINCANGKAN DALAM FORUM HAWANA

28/05/2023 09:19 PM

IPOH, 28 Mei (Bernama) --  Biarpun sesetengah penganalisis melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai ancaman kepada kewartawanan sebenar, pakar-pakar pada Forum Media HAWANA 2023 di sini hari ini berkata AI juga boleh mengubah kaedah wartawan bekerja. 

Pengurus Agence France-Presse (AFP) bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei Alric Manickam berpendapat wartawan boleh bekerja menggunakan peralatan itu untuk menambah baik tugasan harian dan memaksimumkan potensi mereka.

“Saya fikir semua adalah mengenai bagaimana kita boleh menggunakannya untuk menjadikan kerja kita lebih mudah, jadi mungkin kita boleh tumpukan kepada perkara lain untuk menyediakan unsur kandungan tertentu yang lebih memuaskan, lebih selamat untuk penonton yang disasarkan, akhirnya,” kata beliau ketika menjawab soalan sama ada wartawan harus menggunakan AI dalam bidang pekerjaan mereka.

Mengakui terdapat banyak perdebatan sama ada AI akan menggantikan pekerjaan tertentu termasuk wartawan, beliau berkata ada banyak lagi aspek lain yang perlu dilihat dan  terpulang bagaimana pengamal media mengendalikannya.

Sementara itu Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Suhaimi Sulaiman berkata beliau mengalu-alukan penggunaan AI di dalam bilik berita kerana ia boleh membantu wartawan dalam beberapa cara.

"AI boleh melakukan transkripsi, jadi anda keluar untuk tugasan dan mewawancara serta ia melakukan transkripsi untuk anda … maka anda akan mempunyai lebih masa untuk tugas yang memerlukan pemikiran tinggi,” katanya.

Strategis Jenama  Andrew Ambrose pula berkata walaupun kewartawanan dipacu AI telah dipraktikkan di beberapa negara, wartawan perlu melakukan penilaian wajar dalam memahami peralatan ini. 

“Pelajar teruja mengenai ChatGP kerana apabila mereka memasukkan soalan tugasan, kesemua benda keluar tetapi apabila anda membacanya, ia hanya memberikan satu garis kasar mengenai soalan yang anda tanya.

Ia tidak memberikan anda maklumat yang lebih berkualiti yang anda perlukan, atau yang lebih penting aspek pemikiran kritikal,” katanya sambil menambah peralatan baharu itu harus diterima tetapi perlu digunakan secara berhati-hati. 

Forum yang dianjurkan Bernama dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dihadiri wartawan, koresponden dan ahli akademik dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, China, Jepun dan Kuwait.

Forum itu dianjurkan bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan