Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia mahu Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf kerja-kerja yang dilakukan terhadap alam sekitar dan penebangan hutan berkaitan pengeluaran minyak sawit, seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Mohamad Helmy Othman Basha.
“Kami telah melakukan banyak perkara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lepas dalam bidang alam sekitar dan penebangan hutan dan kami mahu EU mengiktiraf fakta ini. Kami telah melakukan banyak penambahbaikan tetapi kami tidak melihat mereka mengiktirafnya,” kata Mohamad Helmy yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation kepada Bernama.
“Oleh itu, mesej yang kami ingin tekankan atau sampaikan kepada Brussels ialah kami tidak mahu mereka mengeluarkan sebarang undang-undang baharu yang mendiskriminasi industri kami,” katanya.
Beliau akan bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof dalam lawatan rasmi lapan hari dan misi perdagangan ke EU di Brussels, Belgium dan London, United Kingdom mulai hari ini.
Misi perdagangan ke EU itu adalah misi bersama dengan Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Pada 9 Febrauri 2023 di Jakarta, Indonesia, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto telah bersetuju untuk melindungi kepentingan sektor minyak sawit dengan memperkukuh usaha dalam menangani diskriminasi terhadap minyak sawit.
Ia sebagai tindak balas kepada pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang diumumkan oleh EU pada 6 Disember 2022 bertujuan untuk mencegah penebangan hutan bagi aktiviti pertanian.
Pelaksanaan EUDR dianggap sebagai langkah bukan tarif yang boleh memberi kesan negatif kepada perdagangan bebas dan adil terutamanya apabila ia lebih disasarkan kepada produk komoditi pertanian yang melibatkan berjuta-juta pekebun kecil dari negara membangun yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global.
EU sedang membangunkan pelaporan usaha wajar untuk memastikan syarikat-syarikat mematuhi EUDR.
"Malaysia dan Indonesia boleh berunding untuk memasukkan seberapa banyak bahagian pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Minyak Sawit Lestari Indonesia ke dalam usaha wajar tersebut," kata Pemilik dan Pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa.
Jika digabungkan, Malaysia dan Indonesia menyumbang lebih 80 peratus kepada pasaran minyak sawit global.
Bagi pasaran Malaysia, EU menyumbang 9.4 peratus daripada volum eksport Malaysia atau 1.47 juta tan metrik minyak sawit.
CPOPC adlah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 untuk mempromosi, membangun dan mengukuhkan penanaman kelapa sawit serta kerjasama industri dalam kalangan negara pengeluar minyak sawit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial