AM

"CLOSE ONE EYE" JUARA MEDIA HUNT HAWANA

28/05/2023 02:02 PM

IPOH, 28  Mei (Bernama) -- Kumpulan "Close One Eye" yang terdiri daripada wartawan veteran menjuarai pertandingan mencari harta karun Media Hunt Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang diadakan semalam. 

Peserta kumpulan berkenaan, Abdul Razak Abu Chik, 62, berkata beliau sering memasuki pertandingan mencari harta karun sejak 10 tahun lepas yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

"Media Hunt ini memang mencabar dengan soalan-soalannya yang memerlukan kita berfikir di luar kotak, namun penganjuran pertandingan ini sangat teratur dan kami berpuas hati," katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas majlis penyampaian hadiah Media Hunt yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin di sini hari ini.

Abdul Razak, bekas wartawan News Straits Times dan kini merupakan penulis bebas berkata beliau bersama tiga lagi rakannya akan menggunakan wang kemenangan sebanyak RM4,000 sebaik mungkin.

Sementara itu, wakil kumpulan "Kamikaze", Mohamad Hafiz Yusoff Bakri, 36, berkata beliau dan tiga lagi ahli yang berkhidmat dengan Utusan Malaysia, tidak menyangka dapat muncul naib juara kerana baru kali pertama menyertai pertandingan sedemikian.

"Cabaran yang kami hadapi sepanjang pertandingan ini ialah jarak perjalanan yang panjang selain soalan yang agak rumit. 

"Wang yang dimenangi sejumlah RM2,500 ini kami akan enjoy sepuas-puasnya dan kami hendak makan durian di Perak yang secara kebetulan sedang musim durian sebelum kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Editor Projek Khas Bernama M. Govind Nair yang juga Treasure Hunt Clerk-of-Course berkata pihaknya berhasrat untuk menambah bilangan peserta sekiranya HAWANA meneruskan pertandingan mencari harta karun itu sebagai sebahagian daripada program sambutan.   

"Selain itu, di mana sahaja HAWANA disambut tahun depan, mungkin kita boleh menambah satu malam untuk peserta bermalam," katanya.

Sejumlah 30 kenderaan yang membawa 120 peserta Media Hunt HAWANA 2023 dilepaskan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching di Wisma Bernama, Kuala Lumpur semalam untuk memburu harta karun di beberapa destinasi menarik, bersejarah serta penuh dengan warisan di Perak.

Sambutan HAWANA 2023, yang bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi" berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan kemuncak perasmian hari ini akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan