AM

Unimap Jalin Kerjasama Dengan Syarikat Swasta Perluas Bidang Aeroangkasa, Pertahanan

27/05/2023 11:08 AM

LANGKAWI, 27 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai surat pernyataan hasrat (Loi) dengan dua syarikat iaitu Global Turbine Asia Sdn Bhd dan Destini Bhd bagi mengorak langkah melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan.

Naib Canselor UniMAP Datuk Dr Zaliman Sauli berkata kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai kepakaran dan mampu dimanfaat sepenuhnya oleh UniMAP bagi meneroka bidang itu dengan lebih luas.

"Kita boleh berkongsi kepakaran, menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar, melakukan pemindahan teknologi serta mewujudkan kerjasama dalam bidang penyelidikan," katanya pada Majlis Serahan Surat Pernyataan Hasrat antara UniMAP dengan Global Turbine Asia Sdn Bhd dan Destini Bhd di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini semalam.

Loi itu ditandatangani oleh Pengerusi Global Turbine Sdn Bhd Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Destini Bhd Datuk Mohd Zahir Zahur Hussain, manakala Zaliman mewakili UniMAP.

Majlis itu disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis yang juga Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.

Zaliman berkata peluang yang terdapat pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA‘23) amat besar dan UniMAP akan terus berusaha mencari ruang untuk menjalin kerjasama dengan industri yang menyertai pameran itu termasuk dalam bidang maritim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan