EKONOMI

Tenaga Boleh Baharu Sebagai Cara Mampan Untuk Syarikat Semikonduktor Berkembang

26/05/2023 10:13 AM

Oleh Annabelle Lawrence

GEORGE TOWN, 25 Mei (Bernama) -- Syarikat semikonduktor di Malaysia perlu mula mempertimbangkan tenaga boleh baharu dalam usaha mereka untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk cip, menurut Schneider Electric.

Naib Presiden Eksekutif untuk Sistem Kuasa dan Perkhidmatan Frederic Godemel berkata pengeluaran semikonduktor dijangka meningkat tiga kali ganda dalam dekad akan datang dan syarikat ini perlu mula mencari cara untuk meneruskan pertumbuhan mereka tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Di Malaysia, pengeluaran tenaga sebahagian besarnya masih bahan api fosil termasuk arang batu. Ini perlu digantikan dengan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu. Saya melihatnya sebagai peluang untuk industri bekerjasama dengan syarikat elektrik dan pihak yang berkaitan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan tenaga boleh baharu.

“Ini adalah cabaran yang baik untuk Malaysia dan industri. Ia mungkin bukan keutamaan pada hari ini tetapi dalam masa 10 tahun berikutan kita mula melihat syarikat besar di negara-negara lain yang  mempertimbangkan tenaga hijau,” katanya kepada Bernama di luar acara SEMICON Southeast Asia 2023.

Godemel berkata Schneider Electric menawarkan penyelesaian untuk membantu industri mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) mereka seperti mendigitalkan infrastruktur proses semikonduktor yang seterusnya akan membawa kepada kecekapan yang lebih tinggi sebanyak 20-30 peratus.

Selain itu, Schneider Electric juga mempunyai perisian yang dapat membantu pelanggannya menguruskan pelbagai sumber pelepasan mereka selain turut memberikan panduan kepada syarikat dalam perjalanan kemampanan mereka.

“Dalam kebanyakan operasi, terdapat pembaziran tenaga antara pengeluaran dan penggunaan, di situ kami boleh bertindak untuk membantu syarikat. Kami mempunyai semua penyelesaian, daripada menyusun strategi kepada mengukur dan mengoptimumkan.

“Kami boleh membantu industri membina pelan untuk mencapai pengeluaran yang lebih tinggi dengan jumlah pelepasan CO2 yang lebih rendah atau sekurang-kurangnya sama,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor ketujuh terbesar di dunia dengan bahagian pasaran sebanyak tujuh peratus, terdapat potensi yang besar untuk Malaysia melihat kepada kemungkinan lebih banyak bekalan sumber tenaga boleh baharu.

 Beliau berkata industri semikonduktor global berkembang pesat dengan industri itu akan menjadi industri yang bernilai trilion dolar menjelang 2030.

Katanya tenaga boleh baharu merupakan penyelesaian kepada syarikat untuk mendapatkan bekalan tenaga tambahan untuk memadankan pengeluaran mereka dengan permintaan global tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Jika anda tidak berbuat demikian, ini yang berlaku dalam industri tertentu apabila terdapat kekurangan cip dan mereka tidak dapat mengeluarkannya.

“Apa yang berlaku sekarang ialah kekurangan cip mempunyai akibat global dan boleh menjejaskan perniagaan mereka,” katanya.

Persidangan selama tiga hari sehingga hari ini, bertemakan ‘Boosting Agility and Resiliency for the Electronics Supply Chain’, dianjurkan oleh SEMI, persatuan industri global yang memberikan perkhidmatan kepada pembuatan semikonduktor dan elektronik serta reka bentuk rantaian bekalan, dengan rakan kongsi strategiknya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan InvestPenang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan