AM

Melaka: 886 Notis Kesalahan Merokok Dikeluarkan Babitkan Nilai Lebih Rm200,000

26/05/2023 09:16 AM

MELAKA, 26 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengeluarkan sebanyak 886 notis kesalahan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM204,100 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dalam tempoh Januari hingga April lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata daripada jumlah itu, sebanyak 845 atau 95.4 peratus notis dikeluarkan atas kesalahan merokok di kawasan larangan termasuk di kalangan Orang Belum Dewasa (OBD) atau remaja di bawah usia 18 tahun.

"Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 92 notis dikeluarkan kepada OBD di bawah Seksyen 13(1) PPKHT 2004 atas kesalahan OBD yang merokok, mengunyah, membeli atau memiliki apa-apa hasil tembakau.

"Sebanyak 500 notis kesalahan dikeluarkan kerana merokok di kawasan larangan merokok di bawah Seksyen 11(1) PPKHT 2004 termasuk 207 atau 24.5 peratus kompuan dikeluarkan di tempat makan," katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan PPKHT 2004 JKNM, di sini lewat malam tadi yang turut dihadiri Pengarah JKNM Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Sebanyak 80 premis diperiksa dalam operasi berkenaan antaranya kedai makan, restoran, dan kedai vape melibatkan 45 anggota JKNM.

Ngwe berkata daripada jumlah itu juga, sebanyak 253 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Seksyen 22 PPKHT 2004 kerana merokok di kawasan Zon Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) yang telah diwartakan di negeri itu.

Selain itu, katanya sebanyak lima notis kesalahan turut dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan di bawah Peraturan 12(1)(b) PPKHT 2004 kerana gagal memastikan tiada yang merokok di dalam premis mereka.

Tegasnya JKNM tidak akan berkompromi dengan kesalahan tersebut dan kompuan bernilai RM250 akan dikenakan kepada pemilik premis terlibat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan