AM

Russian Knights Bangga Diberi Peluang Beraksi Lagi Di Lima

25/05/2023 09:45 PM

LANGKAWI, 25 Mei (Bernama) -- Russian Knights, unit tentera udara dari Rusia, melahirkan penghargaan kerana diberi peluang untuk mempamerkan aksi aerobatik udara buat kali ketujuh pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23). 

Sejak penampilan pertama Russian Knights pada LIMA 1991, ketua juruterbang kumpulan Kol Andrev Alekseev berkata pasukannya sangat gembira dan berbesar hati untuk menerbangkan pesawat Rusia di ruang angkasa Malaysia.

“Pameran udara tahun ini lebih menarik dan kami lihat ramai rakan kami dari negara lain turut akan menerbangkan jet pejuang mereka.

“Kami ingin menyatakan LIMA tahun ini telah dianjurkan dengan baik dengan tuan rumah melakukan tugas yang hebat, bukan sahaja untuk pameran tetapi juga untuk pertunjukan udara,” katanya kepada media ketika ditemui di perkarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Russian Knights yang lebih dikenali Russikiye Vityazi, menerbangkan enam pesawat Sukhoi SU-35SM dan satu SU-30 pada pertunjukan udara selama lima hari sempena LIMA ‘23 dari 23 hingga 27 Mei.

Dalam pertunjukan udara pasukan tentera udara itu akan menerbangkan enam pesawat SU-35SM bermula dengan aerobatik udara dan berakhir dengan penerbangan solo pesawat SU-30.

Mengulas lanjut, Alekseev berkata pembabitan dalam LIMA ‘23 akan terus membantu Russian Knights mempamerkan keupayaan pesawat Rusia.

“Serta untuk mempromosikan peralatan penerbangan ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Selain Russian Knights, LIMA ‘23 juga turut mempamerkan pasukan aerobatik antarabangsa dari Indonesia yang dikenali sebagai Jupiter, China (August 1st) dan Korea Selatan (Black Eagles).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan