JENAYAH & MAHKAMAH

Lombong Nadir Bumi: N.sembilan Arah Pejabat Daerah Dan Tanah Buat Pemantauan

25/05/2023 09:08 PM

SEREMBAN, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan semua pejabat daerah dan tanah di negeri ini memantau kawasan masing-masing bagi memastikan aktiviti perlombongan haram nadir bumi tidak berulang.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kesemua pegawai daerah telah diberikan taklimat oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) termasuk berkaitan modus operandi kegiatan berkenaan sekali gus memberikan pendedahan untuk mengendalikan perkara itu sekiranya berlaku.

“Kita khuatir ada lagi di daerah lain (lombong nadir bumi), sebab itu taklimat diadakan supaya mereka (pegawai daerah) tahu bagaimana ia dijalankan kerana ini kali pertama berlaku di Negeri Sembilan, tak pernah kita lihat sebelum ini, sebab itu kita dedahkan dan harap dapat membantu mereka ambil tindakan.

“Ini perkara yang harus dipandang serius dan tindakan segera. Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan. Beberapa enakmen juga sedang dikenal pasti dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk melihat tindakan undang-undang yang boleh diambil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Aminuddin mendedahkan aktiviti perlombongan haram nadir bumi dikesan di atas dua lot tanah milik di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah dekat sini menerusi aduan yang diterima Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah pada 16 Mei lepas.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pemeriksaan awal mendapati kegiatan itu dijalankan di tanah persendirian namun pihaknya sedang mengenal pasti sama ada ia turut membabitkan tanah milik kerajaan selain keluasan sebenar tanah terbabit.

“Kita belum dapat secara tepat keluasannya, tetapi memang luas, tidak hanya melibatkan satu dua ekar, selain turut melibatkan kawasan berbukit. Tempoh aktiviti itu dijalankan pula belum diketahui dan hanya Jabatan Mineral dan Geosains boleh menganggarkannya,” katanya.

Ditanya sama ada aktiviti berkenaan boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk sekitar, Aminuddin berkata perkara itu masih dalam siasatan namun kawasan berkenaan berada jauh daripada penempatan.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kejadian seumpama itu selain turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya untuk menyalurkan kepada jabatan berkaitan dengan imbuhan akan diberikan kepada pemberi maklumat yang tepat.

Sementara itu, beliau berkata nadir bumi merupakan sumber baharu yang ingin diteroka sekali gus mampu memberikan hasil kepada kerajaan negeri, namun masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada kerajaan Persekutuan.

“Walaupun beberapa negeri umumkan mereka buat, kita kena tunggu SOP supaya ia tak beri kesan kepada masyarakat, kerana berhampiran penempatan dan kita negeri kecil, kalau negeri tertentu ada hutan besar jadi penempatan agak jauh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan