EKONOMI

EKUINAS TELITI KEMUNGKINAN PENJUALAN AL-IKHSAN

25/05/2023 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sedang meneliti untuk memanfaatkan pelaburannya dalam operator kedai rangkaian peralatan dan pakaian sukan,  Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan).

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan kewangan Ekuinas pada 2022 hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata Ekuinas juga terbuka kepada pilihan sama ada untuk memanfaatkan pelaburan itu menerusi langkah tawaran awam permulaan (IPO) atau jualan dagangan.

“Kami terbuka. Malah, kami sedang berbincang sama ada akan keluar daripada Al-Ikhsan pada tahun ini atau sebaliknya. Kami akan terus meneliti (kaedahnya) dan benar-benar bergantung kepada penilaian yang kami terima,” katanya.

Al-Ikhsan yang ditubuhkan pada 1993 oleh pengasasnya Ali Hassan Mohd Hassan, mengendalikan 181 kedai di Malaysia.

Syarikat itu juga sebahagiannya dimiliki oleh Ekuinas selepas firma ekuiti swasta berkaitan kerajaan itu membeli 35 peratus kepentingan dalam Al-Ikhsan pada Julai 2016 bernilai RM68.6 juta.

Bagi tahun kewangan berakhir 2022, perolehan Al-Ikhsan menokok 72.4 peratus tahun ke tahun kepada RM485.4 juta daripada RM281.6 juta.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) sebelum butiran luar biasa meningkat kepada RM70.3 juta daripada RM18.7 juta.

Ditanya berhubung potensi untuk keluar daripada Orkim Sdn Bhd, Syed Yasir Arafat berkata Ekuinas terus meneroka peluang bagi syarikat perkapalan itu.

Ekuinas membeli 95.5 peratus kepentingan dalam Orkim pada 2014.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan